KUALA LUMPUR – Pengarah Strategik DAP Liew Chin Tong mengharapkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sedar bahawa tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan Umno sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan itu mengingatkan Umno dan BN, zaman sudah berubah.
“Dalam Umno, ada pemimpin yang tidak mahu parti itu bertanding sebagai rakan gandingan Pakatan Harapan (PH). Mereka percaya Umno hanya dapat mengembalikan kegemilangan masa lalu dengan bertanding bersendirian di sebanyak kerusi yang boleh di samping mengemukakan calon Perdana Menteri mereka sendiri.
“Mereka beranggapan cara ini dapat mengembalikan sokongan Melayu kepada Umno. Sehubungan itu, Umno Johor berpandangan bahawa Johor sebagai kubu Umno perlu mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu. Dengan mengandaikan kemenangan besar dalam PRN tersebut, para pemimpinnya yakin ia akan menjadi kelebihan serta sumber kekuatan untuk bertanding solo pada PRU akan datang.
“Namun, sejarah membuktikan bahawa PRU 2018 telah mengakhiri era sistem “satu parti” yang begitu lama mendominasi landskap politik Malaysia. Sebenarnya sudah tiada lagi satu parti dominan di Malaysia. Semua parti perlu bekerjasama dan bertolak ansur untuk bertanding serta menubuhkan kerajaan.
“Dalam landskap politik sekarang, jika diramalkan, keputusan PRU16 nanti bakal menyaksikan PH dan PN kekal sebagai dua gabungan besar manakala BN pula semakin hilang popularitinya.
“Sementara kita mengakui BN mempunyai kelebihan dalam PRN Johor, faktanya ialah kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya menjamin kejayaan pada PRU akan datang. Buktinya dapat dilihat dalam keputusan PRU 2022. Daripada 26 kerusi Parlimen Johor, BN hanya memenangi 9 kerusi berbanding PH yang mendapat 15 kerusi.
“Semoga para pemimpin Umno dan BN sedar bahawa tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era satu parti dengan Umno sebagai parti dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat. Zaman sudah berubah,” tegas Chin Tong.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menjelaskan rasional mengapa BN Johor nekad untuk bertanding solo. Hal ini katanya kerana, Umno mahu menggunakan pilihan raya negeri untuk mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan, seperti pada era satu parti pra-2018.
“BN Johor mahu bertanding kesemua 56 kerusi Dewan Negeri Johor. Ini bererti bertanding melawan Pakatan Harapan walaupun PH dan BN merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. BN sangat yakin ia akan memenangi lebih daripada 40 kerusi yang dimilikinya sekarang. Ada kalangan pemimpin mereka yang yakin mampu menang 45 hingga 48 kerusi.
“Pada PRU 19 November 2022, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional 74, BN 30, dan GPS 23. Strategi PN ketika itu ialah untuk menggabungkan 74 kerusinya dengan GPS, dan GRS, serta mendapatkan akuan bersumpah (SD) daripada beberapa Ahli Parlimen BN – termasuk Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong – untuk membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Namun, rancangan itu gagal.
“Yang menjadi kenyataan, melalui titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Kerajaan Perpaduan dibentuk bersama oleh PH dan BN.
“Kerjasama PH dan BN telah membuktikan kemampuan kedua-dua gabungan bekerjasama dalam kerajaan serta bersama-sama memenangi pilihan raya. Dengan itu, jika kedua-duanya dapat meneruskan kerjasama, ia akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara PH-BN dan PN dalam PRU akan datang.
“Pertandingan satu lawan satu memberi kelebihan kepada kedua-dua PH dan BN. Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang masih mempunyai impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan Umno sebagai satu kuasa politik yang dominan,” katanya.
Chin Tong memberitahu, pada PRU 2022, bagi 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, PH dan PN masing-masing memenangi 71 kerusi manakala BN hanya 23 kerusi sahaja.
“Selepas itu, mengikut formula asal Umno, bagi 71 kerusi yang telah dimenangi PN, parti yang mendapat undi kedua terbanyak akan bertanding mewakili gabungan PH-BN pada PRU akan datang. Berdasarkan cadangan ini, PH akan bertanding di 90 kerusi manakala BN 75 kerusi.
“Namun, oleh kerana formula ini hanya membolehkan MCA bertanding dua kerusi Parlimen sahaja, ia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpinnya. Bagi mencari jalan untuk bertanding lebih daripada dua kerusi, MCA mendesak BN untuk bertanding solo, walaupun ia sedar kemahuannya itu akan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru yang akan menjejaskan peluang kedua-dua BN dan PH.
“Walaupun MCA merupakan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, ia bersikap seperti pembangkang, membawa isu yang menyebabkan kemarahan dalam kalangan parti-parti komponen, menimbulkan keresahan kaum Cina, dan mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menyerang DAP dan Kerajaan Perpaduan.
“Pada masa yang sama, Pas dan Bersatu pula meneruskan kempen membangkitkan keresahan orang Melayu bagi menimbulkan rasa kurang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.



