Oleh Zihan Zari
IPOH – Program Asasi Teknologi Kejuruteraan merupakan platform strategik dalam melahirkan modal insan teknikal berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 5.0 dan agenda pembangunan negara, kata Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Hilmun Mohamed.
Hilmun berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan bagi meraikan seramai 99 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan Kohort 3 Sesi 2025/2026 Politeknik Ungku Omar (PUO) di M Roof Hotel, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer PUO, Ahmad Rakimi Mohamad serta barisan pengurusan tertinggi institusi.
Majlis yang berlangsung penuh gemilang bertemakan ‘Menggenggam Impian, Mencipta Kejayaan’ bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang akademik, inovasi, kokurikulum, kepimpinan serta kesukarelawanan sepanjang tempoh pengajian di PUO.
Pada masa yang sama, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PUO, Hj. Mohd Fakrul Razi Jamaluddin, berkata Kohort 3 telah membuktikan kemampuan luar biasa apabila berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan ekosistem pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di PUO yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah membentuk pelajar yang kreatif, inovatif dan kompetitif di peringkat global,”katanya yang mewakili Pengarah PUO pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, sepanjang dua semester pengajian, pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan PUO telah terlibat secara aktif dalam lebih 40 program melibatkan akademik, inovasi, kreativiti, debat, sukan dan kesukarelawanan.
Di peringkat antarabangsa, pelajar turut menyertai Kangaroo Math Competition 2026 serta berjaya meraih satu Anugerah Merit Dalam International Mathematical Olympiad National Selection Test (IMONST) 2025.
Dalam Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia 2026 (PITRAM 2026) pula, pelajar PUO berjaya mengharumkan nama institusi apabila membawa pulang dua pingat emas , empat perak dan satu gangsa.
Kecemerlangan turut diteruskan menerusi Program Asasi InnoTech Challenge 2026 (ASIC 2026) yang menyaksikan pelajar menghasilkan sebanyak 47 projek inovasi berimpak tinggi.
Projek-projek tersebut telah dinilai oleh rakan industri, Cytron Technologies Sdn. Bhd., sekali gus membuktikan kemampuan pelajar menghasilkan solusi teknologi yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Daripada jumlah tersebut, pelajar berjaya meraih 26 anugerah emas, 16 perak dan lima Gangsa, malah beberapa produk inovasi yang dihasilkan turut dikenal pasti mempunyai potensi untuk dipatenkan serta dimanfaatkan oleh komuniti dan industri pada masa hadapan.
Selain penyampaian sijil penghargaan kepada semua pelajar, majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah utama termasuk Anugerah Khas Ketua Jabatan, Anugerah Khas Pengarah, dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan.
Anugerah Pelajar Harapan pula telah disandang oleh Muhammad Iman Zafry Azmy atas pencapaian dan potensi cemerlangnya sepanjang pengajian.
Program Asasi Teknologi Kejuruteraan PUO terus mengekalkan rekod cemerlangnya apabila mencapai 100 peratus (%) kadar pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di rangkaian MalaysianTechnical University Network (MTUN) bagi dua kohort terdahulu.
Dengan pengiktirafan Akreditasi Penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang diperoleh pada Mei 2025, program ini semakin mendapat perhatian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai laluan pendidikan TVET berkualiti tinggi yang mampu membuka peluang kerjaya masa depan.-SUARA.TV


