Pengguna Mahukan Penyelesaian, Muak Dengar Alasan Masalah Air Selangor – AWER

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor tidak ada jalan terbaik lagi dalam menangani gangguan bekalan air di Lembah Kelang kecuali menyegerakan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

Ini kerana, pengguna di Wilayah Persekutuan dan Selangor sudah tidak mampu berdepan lagi dengan gangguan bekalan air yang terlalu kerap.

Gangguan bekalan air yang terlalu kerap, seolah-olah mempermainkan pengguna yang telah dijanjikan dan diberi jaminan oleh Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, penguna-pengguna sudah tidak mampu ‘diperbodohkan’ lagi dengan pelbagai kenyataan.

Apa yang pengguna mahu adalah menyelesaikan isu gangguan bekalan air ini secara total.

Menurutnya, apa pun alasan daripada Pengurusan Air Selangor berhubung henti tugas LRA Sungai Selangor, pengguna sudah tidak boleh terima kerana sudah muak.

”Tengoklah setiap kali berlaku gangguan bekalan air, pasti akan keluar pelbagai kenyataan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Tapi gangguan berlaku lagi dan lagi….akibat masalah sama. Kali ini lebih teruk kerana ia berlaku dalam tempoh sebulan, apakah justifikasi mereka. Di sini saya ingin bertanya, apa sudah jadi dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini.

“Apakah yang dilakukan dengan pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar berkaitan yang bersama-sama mahu membantu kerajaan menangani masalah ini.

“Mengenai kenyataan-kenyataan sebelum ini, saya mahu bertanya berapa banyak tindakan penguatkuasaan kilang-kilang haram di sepanjang sungai telah dibuat? Berapa lagi kilang yang wujud di sepanjang sungai yang memberi sumber air kepada pengguna.

“Berapa banyak kilang haram yang sudah dirobohkan. Berapa banyak tinjauan yang dilakukan terhadap keselamatan air di sepanjang sungai….terlalu banyak persoalan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Piarapakaran berkata, jika persoalan-persoalan ini masih belum mampu dijawab, maka Kerajaan Selangor perlu menyiapkan LRA Langat 2 dengan cepat.

Selagi LRA Langat 2 tidak siap, selagi itulah penduduk di Wilayah Persekutuan dan Selangor akan terus menderita dengan gangguan bekalan air.

LRA Sungai Selangor adalah loji terbesar dan mengagihkan 60% air kepada penduduk Selangor, lantaran itu sudah pasti pengguna tidak mempunyai sokongan lain jika berlaku gangguan di LRA Sungai Selangor.

Lantaran itu, apabila muncul masalah, sudah pasti banyak kawasan akan mengalami gangguan bekalan air kecuali ia mempunyai margin simpanan yang banyak.

“Kalau ikut logik sepatutnya tidak ada masalah untuk siapkan LRA Langat 2 dengan segera. Umpama kalau kita mahu membina rumah baharu, kalau menggunakan dua pekerja memang lambatlah siap. Tapi kalau pekerja ditambah kepada 10 sudah tentu boleh disiapkan dengan cepat walaupun ia mengakibatkan kos bertambah.

“Walaupun (kos) bertambah, tetapi kalau rumah dapat disiapkan dan pemiliknya dapat memberi kehidupan lebih baik pada ahli-ahli keluarga, sudah tentu tidak mengapa, bukan,” katanya.

Namun, Piarapakaran berkata, sama ada Kerajaan Selangor berupaya menyegerakan projek LRA Langat 2, ia juga menjadi persoalan memandangkan sistem rangkaian paip air untuk loji berkenaan yang sepatutnya disiapkan pada tahun lalu, ditangguhkan kepada tahun 2023.

”Persoalannya mengapa sistem rangkaian paip itu masih belum siap, ia perlulah dijawab oleh Kerajaan Negeri Selangor .

“Tanyalah Kerajaan Selangor mengapa jadi begitu, tanya kenapa tukar kontraktor dan tanya juga siapa arahkan tukar kontraktor,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Piarapakaran berharap Kerajaan Negeri Selangor dan kementerian berkaitan saling bekerjasama.

“Walaupun LRA Sungai Selangor diuruskan oleh Kerajaan Selangor tetapi kuasanya terhad.

Sebab itu wujudnya Kementerian Alam Sekitar dan Air yang di bawahnya ada Jabatan Alam Sekitar yang kuasanya lebih besar dalam penguatkuasaan premis-premis di sepanjang sungai.

”Kalau semua pihak bergerak dan bertindak serentak dan menunaikan semua janji dan jaminan yang dibuat kepada rakyat, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan masalah pencemaran yang semakin kerap.

“Setidak-tidaknya pengguna dapat tidur dengan nyenyak setiap malam, tidak perlu bimbang paip air kering apabila bangun dari tidur,” katanya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat