WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menembak sebuah kapal dagang yang sedang menuju ke pelabuhan Iran di Teluk Oman dalam operasi terbaru penguatkuasaan sekatan laut terhadap Tehran.
Menurut kenyataan Komando Pusat AS (CENTCOM), kapal dagang berbendera Gambia dikenali sebagai Lian Star itu dikesan sedang melalui perairan antarabangsa menuju ke sebuah pelabuhan Iran sebelum diberikan lebih 20 amaran oleh pihak tentera AS.
CENTCOM mendakwa kapal berkenaan melanggar sekatan laut yang dilaksanakan Washington terhadap Iran.
“Selepas beberapa amaran dikeluarkan, sebuah peluru berpandu Hellfire dilepaskan daripada pesawat tentera AS dan mengenai bilik enjin kapal tersebut,” menurut kenyataan itu.
Tentera AS berkata kapal itu berjaya dilumpuhkan dan tidak lagi meneruskan perjalanan ke Iran. Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai kemungkinan korban atau kecederaan didedahkan setakat ini.
Tindakan itu berlaku ketika rundingan damai antara AS dan Iran masih berlangsung selepas kedua-dua negara mengekalkan gencatan senjata sejak 7 April lalu.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa kedua-dua pihak semakin hampir mencapai persetujuan baharu berkaitan konflik serta program nuklear Iran.
Menteri Pertahanan AS, Pete Hegseth bagaimanapun menegaskan sekatan laut terhadap Iran masih diteruskan sepenuhnya.
Beliau berkata laluan strategik Selat Hormuz turut menjadi topik utama perbincangan bersama pemimpin luar semasa Sidang Kemuncak Keselamatan Shangri-La Dialogue di Singapura.
Trump turut menegaskan Iran perlu membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya selain memastikan negara itu tidak lagi memiliki senjata nuklear.
Menurut tentera AS, sejak sekatan laut dilaksanakan pada pertengahan April lalu, pihaknya telah melumpuhkan enam kapal dagang dan mengalihkan lebih 116 kapal lain daripada memasuki Iran.
Dalam perkembangan sama, pegawai kanan AS dan Iran dilaporkan masih meneliti kerangka perjanjian lanjutan gencatan senjata selama 60 hari bagi membolehkan kedua-dua pihak menyelesaikan isu berkaitan uranium diperkaya dan sekatan ekonomi.



