MPS Akui Kilang Penyebab Sungai Tercemar Beroperasi Secara Haram Sejak 2014

- Advertisement -

RAWANG – Kilang penyelenggaraan jentera di kawasan industri Sungai Gong di sini, yang disyaki punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihentikan Khamis lalu beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad berkata, kilang itu juga sudah dikompaun pada Mac kerana beroperasi tanpa lesen dan sehingga kini belum melakukan sebarang permohonan,

Katanya, premis terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak 2014 lalu dan termasuk dalam senarai pemutihan kilang haram.

“Berdasarkan data oleh MPS, pengurusan kilang berkenaan tidak pernah membuat apa-apa permohonan lesen sejak 2014.

“Pihak MPS juga sudah dua kali menyarankan kepada kilang terbabit untuk membuat permohonan lesen selepas dikesan beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Selain beroperasi tanpa kebenaran, kilang yang dipercayai sering menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain ini turut membina struktur bangunan dalam kawasan premis mereka tanpa kebenaran bertulis dari MPS,” katanya ketika ditemui dalam operasi kilang haram di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilik atau pengurusan kilang ini langsung tidak menghantar sebarang permohonan untuk menjalankan perniagaan.

“Pengurusan kilang dilihat tidak mempedulikan notis yang dikeluarkan sejak Mac lalu dan terus menjalankan perniagaan tanpa kebenaran serta mendirikan bangunan tanpa kebenaran,” katanya.

Sehubungan itu katanya, MPS mengeluarkan notis kepada kilang penyelenggaraan jentera yang membuat binaan tanpa kelulusan itu.

Menerusi notis itu, pihak syarikat perlu mengemukakan dokumen berkaitan dalam tempoh tiga hari dan akan dirobohkan jika gagal berbuat demikian.

Mohamad Zin berkata, notis mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan kerana kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan bukti.

“Dalam tempoh tiga hari jika gagal mengemukakan bukti premis berkenaan akan dirobohkan,” katanya.

Katanya, bagi isu dan kes berkaitan pencemaran yang dikaitkan dengan pengurusan kilang, kesalahan itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar (JAS). – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat