Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melalui dana Wakaf Tunai Malaysia telah menyumbangkan sebuah Smartboard Interaktif bernilai RM7,000 kepada Langkawi Autism Care Centre (LACC) bagi membantu meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan terapi untuk anak-anak autisme di LACC, Jalan Batu Asah, Mukim Kuah, dekat sini baru-baru ini.
YWM dalam kenyataan berkata sumbangan ini memberi manfaat kepada 24 orang anak autisme yang mengikuti program pembelajaran dan intervensi di pusat berkenaan.
Katanya, peralatan teknologi pendidikan tersebut bersifat mudah alih dan boleh digunakan secara bergilir antara kelas, sekali gus memudahkan pelaksanaan sesi pembelajaran visual, terapi komunikasi serta aktiviti berkumpulan dengan lebih interaktif, menarik dan berkesan.
Simbolik penyerahan cek cura sumbangan ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dsdisaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YWM dalam memperkasa pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui instrumen wakaf, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan termasuk kanak-kanak
berkeperluan khas,”kata kenyataan itu.
“YWM berharap sumbangan ini dapat membantu tenaga pengajar dan terapi di LACC dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong perkembangan potensi anak-anak autisme secara menyeluruh.
“YWM turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada para pewakaf YWM yang terus
menyokong usaha-usaha kebajikan dan pendidikan demi kesejahteraan ummah, ”katanya lagi. – SUARA.TV



