PRN Johor medan pertama uji kerjasama PN Plus, IPR – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi medan pertama untuk menguji kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata PRN Johor juga akan menjadi gelanggang penting untuk menilai tahap penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadap gagasan PN Plus.

Menurutnya, pilihan raya itu turut berpotensi menjadi medan pertama yang menyaksikan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding sebagai parti komponen PN.

“PRN Johor bakal menjadi medan pertama untuk menguji kerjasama antara Perikatan Nasional dan parti-parti yang berada di bawah Ikatan Prihatin Rakyat, di samping menilai tahap penerimaan pengundi pelbagai kaum terhadap gagasan PN Plus.

“PRN Johor juga berpotensi menjadi pilihan raya pertama yang menyaksikan MIPP bertanding sebagai parti komponen PN,” katanya dalam kenyataan.

Tun Faisal berkata, pelaksanaan *electoral pact* bersama parti-parti bukan anggota PN dalam IPR merupakan antara perkara yang belum pernah diuji sebelum ini.

Katanya, langkah itu dibuat susulan keputusan Majlis Tertinggi PN untuk meneroka kerjasama dengan parti-parti bukan anggota gabungan tersebut.

Beliau berkata parti-parti yang berada dalam IPR ialah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA/MIPP), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Menurutnya, hasrat pembentukan IPR sebelum ini adalah untuk menyatukan parti-parti bukan kerajaan dan suara-suara protes terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut merujuk kenyataan Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal bahawa rundingan pembahagian kerusi PN Johor bagi menghadapi PRN hampir dimuktamadkan.

Menurut Sahruddin, kira-kira 80 peratus pembahagian kerusi telah selesai, manakala baki 20 peratus masih dalam perbincangan.

“Baki 20 peratus kerusi masih dalam perbincangan, melibatkan kerusi Parti Rakyat India Malaysia serta cadangan kerjasama melalui *electoral pact* dengan parti lain termasuk MUDA dan IPR.

“Setakat ini, pembahagian kerusi masih dalam perbincangan. Kira-kira 80 peratus telah selesai dan seperti kita maklumkan, PN akan bertanding di semua 56 kerusi,” kata Sahruddin.

Tun Faisal berkata perkembangan itu menunjukkan PN sedang memasuki fasa akhir rundingan bagi menghadapi PRN Johor, termasuk menilai bentuk kerjasama strategik dengan parti-parti yang mempunyai pengaruh dalam segmen pengundi tertentu.

Katanya, PRN Johor akan menjadi ujian penting kepada kemampuan PN Plus memperluas sokongan, bukan sahaja dalam kalangan pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi bukan Melayu dan kelompok atas pagar.

Beliau berkata kejayaan menyusun kerjasama lebih luas melalui PN Plus dan IPR akan menjadi isyarat penting terhadap hala tuju politik pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat