KUALA LUMPUR — Industri serta ekosistem Halal Malaysia perlu digarap dengan pemikiran strategik serta idea-idea berwawasan untuk membentuk semula dan mengukuhkan pelaksanaannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar semua pihak yang terlibat mampu menterjemahkan strategi yang luar biasa.
“Berfikir bukan sahaja di luar kotak tetapi tiada kotak dan baru lah industri ini dapat menjadi lebih maju dari sebelumnya.
“Hari ini, kita bukan sekadar tentang membincangkan trend halal kita mesti berbicara tentang strategi untuk memacu momentum industri Halal, membentuk jalan dan mencari mekanisme menuju kejayaan dan keberkesanannya. We mean business this time,” katanya dalam ucapan Forum Ekonomi Halal 2023, di MITEC hari ini.
Selain itu katanya, kerjasama di bawah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) juga dapat memacu dan mencipta peluang pertumbuhan baru dalam industri ini.
“Bila kesungguhan ini terpancar, ia akan memantapkan lagi komitmen Kerajaan terhadap usaha yang perlu dilaksanakan untuk memastikan agenda pemerkasaan halal secara berterusan dapat dipertingkatkan secara strategik.
“Malah isu yang kita sering dengar seperti pensijilan halal boleh dicerakinkan bersama di platform seperti ini,” katanya.
Beliau turut memberitahu pihaknya telah mengarahkan JAKIM untuk menganjurkan Seminar Perdana Halal bertujuan memberikan maklumat terperinci mengenai syarat dan prosedur pensijilan halal.
“Saya menegaskan, bahawa proses pensijilan di Malaysia memerlukan dimensi anjakan baharu, menukar persepsi dan sentiment negatif supaya Malaysia berjaya menjadi peneraju industri Halal dunia dengan memaksimum segala kapasiti yang ada.
“Perkara ini lah saya telah sebutkan kepada Menteri Agama dan KP JAKIM pada Isnin lalu,” katanya.
Beliau berharap agar usaha ini dapat memandu pihak industri untuk memahami keperluan pensijilan halal dan memperoleh maklumat secara ‘first- hand information’ daripada JAKIM dan proses pensijilan halal Malaysia dapat diperbaiki.