KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu memutuskan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.
Hakim Datuk Quay Chew Soon sehubungan itu memerintahkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan bermula dari tarikh hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos sebanyak RM150,000 kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL yang merupakan pemilik barang-barang kemas itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia.
Ia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, lapor Utusan.
Syarikat berpangkalan di Beirut, Lubnan itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis manakala baki 43 lagi tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa bahawa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.


