KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin mendakwa DAP bersikap double standard apabila mengkritik pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang mahu bertanding atas kekuatan sendiri.
Beliau berkata, DAP bebas membuat keputusan politiknya sendiri, namun apabila UMNO dan BN memilih hala tuju sendiri, parti itu dilabel sebagai angkuh.
“Apabila DAP membuat keputusan untuk DAP, ia dipanggil hak politik.
“Apabila UMNO membuat keputusan untuk UMNO dan BN, tiba-tiba dilabel sebagai angkuh,” katanya.
Menurut Hafiz, pemimpin DAP seperti Anthony Loke Siew Fook dan Teo Nie Ching cuba mengelirukan rakyat apabila mencampuradukkan urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan hak parti menentukan masa depan politik di negeri.
Katanya, kedudukan pemimpin UMNO dan DAP dalam Kabinet tidak bermakna kedua-dua parti wajib bekerjasama dalam semua pilihan raya.
“Duduk sebelah setiap minggu bukan syarat wajib untuk bekerjasama dalam pilihan raya sampai bila-bila,” katanya.
Hafiz turut memberi contoh DAP pernah bertanding menentang GRS dan BN di Sabah, selain GPS dan SUPP di Sarawak yang secara terbuka mahu memastikan DAP tidak menang di negeri itu.
Beliau berkata, isu sebenar ialah DAP tidak boleh menerima hakikat bahawa UMNO dan BN Johor memilih untuk tidak bekerjasama dengan mereka.
Menurutnya, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil Mahkota juga tidak wajar dijadikan alasan untuk memaksa kerjasama dalam PRN Johor.
“Kerusi tersebut memang kerusi penyandang BN sebelum ini dan Alhamdulillah berjaya dipertahankan.
“Memang DAP dan PH membantu ketika itu atas semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Bagaimanapun, Hafiz menegaskan Pilihan Raya Negeri berbeza kerana parti perlu mengemukakan hala tuju politik menyeluruh untuk lima tahun akan datang.
“BN mempunyai hak untuk menentukan hala tujunya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, keputusan BN Johor untuk bergerak sendiri bukan soal keangkuhan, sebaliknya lahir daripada suara hati dan permintaan akar umbi rakyat Johor.
“Jadi janganlah memaksa. Janganlah terlalu mendesak.
“Biarlah rakyat Johor menentukan sendiri pilihan mereka nanti,” katanya.



