Ibu menangis dengar melodi terakhir Sandra

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tatkala mendengarkan karya terakhir berjudul Jelaskan diputar di corong radio, hati ibu Allahyarham Sandra Dianne, Nur Syakinah Abdullah, 46, bagaikan direntap-rentap.

Bukan saja masih larut dalam kesedihan atas pemergian anak disayangi, Nur Syakinah juga tidak mampu menahan sebak hingga berjuraian air mata pada saat mendengar suara mendayu nyanyian arwah Sandra.

Masih terbayang saat arwah Sandra bersusah payah menyiapkan karya terakhir ciptaannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, namun apabila tiba masa, arwah Sandra atau nama sebenarnya, Alessandra Dianne Ampuria, 26, tidak sempat mendengarnya.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hey Kau! itu menghembuskan nafas terakhir pada 11 September lalu selepas enam hari koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya akibat nahas jalan raya.

Sehari sebelum single Jelaskan dilancarkan, Nur Syakinah berkata, dia tidak membantah, sebaliknya menyokong usaha syarikat rakaman, Sony Music melancarkan singe Jelaskan.

Katanya, dia akur single Jelaskan perlu dilancarkan segera, biarpun tidak sampai sebulan pemergian arwah.

“Sebenarnya saya masih belum kuat lagi, masih bersedih dan belum mampu menerima sepenuhnya kenyataan arwah sudah tiada. Namun, mengingatkan kesungguhan arwah ketika menghasilkan single ini, saya kuatkan diri untuk memberi keizinan single Jelaskan dilancarkan.

“Saya perlu akur apabila mengingatkan komitmen arwah ketika pembikinan single Jelaskan ini.

“Tidak mengapa jika single ini perlu dilancarkan segera, ia juga tanda penghargaan terhadap kerja keras arwah dalam menyiapkan karya terakhirnya ini,” katanya kepada BH Online.

 

Allahyarham Sandra Dianne bersusah payah menyiapkan karya terakhir ciptaannya berjudul Jelaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. - Foto IG Sandra Dianne
Allahyarham Sandra Dianne bersusah payah menyiapkan karya terakhir ciptaannya berjudul Jelaskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. – Foto IG Sandra Dianne

 

Nur Syakinah berkata, dia tidak berada di sisi kerana anaknya berada di kampung di Sabah, manakala dirinya pula di Sungai Buloh ketika arwah menyiapkan karya berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, arwah sentiasa bertanyakan pendapatnya setiap kali menghasilkan karya baharu. Malah, dia turut berpeluang mendengar proses awal penghasilan single Jelaskan yang melodi dihasilkan rakan baik arwah, Apex CZ.

“Sudah menjadi kebiasaan, arwah akan bertanyakan pendapat saya setiap kali menghasilkan melodi dan lirik. Arwah akan bagi saya dengar, karya yang dihasilkan sedap atau sebaliknya.

“Jika saya cakap, karya dihasilkan sedap pada pendengaran, arwah akan menyimpannya. Jika saya kurang suka, dia akan ubah kekurangan karya dihasilkan.

“Bagi single Jelaskan, arwah ada menghantar rakaman suara melalui aplikasi WhatsApp, meminta saya mendengar dan memberikan komen. Arwah beri saya dengar beberapa lagu, tetapi saya pilih karya single Jelaskan,” katanya.

Katanya, dia tidak memberikan sebarang komen mengenai single Jelaskan kerana terus terpesona sebaik mendengar dan menghayati liriknya.

“Tiada perubahan dilakukan single Jelaskan yang diputarkan di stesen radio. Ia sama seperti karya asal. Ia memang 100 peratus karya arwah dan Apex CZ,” katanya.

Nur Syakinah berkata, lirik single Jelaskan dihasilkan peserta Big Stage 2020 itu secara spontan berpandukan fakta diberikan Apex CZ.

“Apex CZ menghasilkan melodi dan minta arwah merangka lirik berpandukan fakta diberikan iaitu mengenai kekecewaan, tekanan perasaan dan putus asa. Jadi, arwah buat seperti diminta, tidak sampai sejam lirik single ini berjaya disiapkan.

“Arwah paling teruja ketika menyiapkan kulit untuk single ini. Arwah ada tunjuk kepada saya dan minta pendapat. Kami pilih bersama kulit single Jelaskan ini,” katanya.

Meskipun sedih kerana arwah sudah tiada untuk melihat hasil kerjanya, namun sebagai ibu, Nur Syakinah berkata, dia tetap berbangga dengan pelancaran single Jelaskan.

“Kami masih bersedih atas pemergiannya selepas hampir sebulan arwah meninggalkan kami selepas terbabit kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada 5 September lalu.

“Abangnya mengalami tekanan perasaan kerana mereka sangat rapat dan membesar bersama. Lagipun, arwah dan abangnya hanya berbeza usia setahun saja. Mereka tidak pernah berpisah sepanjang hidup.

“Apabila tragedi ini berlaku, abangnya sukar menerima dan mempercayai adiknya sudah tiada,” katanya.

Nur Syakinah berkata, adik arwah yang berusia lapan tahun juga terkesan dengan pemergian arwah.

“Adiknya sering termenung, malah guru pernah memberitahu dia banyak termenung di sekolah kerana merindui kakaknya.

“Apapun, kami sedang berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Kami dalam proses merawat kedukaan,” katanya dengan suara sebak.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat