KUALA LUMPUR – DAP akan mempertahankan semua kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan dan bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang hujung minggu ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi.
“Mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan DUN Negeri Sembilan dan pilihan raya Negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 1 Jun 2026, maka Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang sepatutnya dijadualkan pada 12 Julai 2026 akan ditunda ke 16 Ogos 2026 (Ahad).
“Proses pemilihan calon untuk mewakili DAP dalam pilihan raya negeri tersebut akan ditentukan oleh sebuah Jawatankuasa Pemilihan Calon seperti berikut; Loke Siew Fook (Setiausaha Agung); Gobind Singh Deo (Pengerusi Kebangsaan); Nga Kor Ming (Timbalan Pengerusi Kebangsaan); Teo Nie Ching (Ketua Wanita DAP) dan Chong Chieng Jen (Ketua Parlimen DAP).
“Menyokong pembentangan RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Persidangan Dewan Rakyat bermula 22 Jun akan datang dan menyatakan komitmen untuk memastikan sokongan undi belah bahagi dari kesemua 40 Ahli Parlimen DAP serta menyeru semua Ahli Parlimen untuk memastikan Pindaan Perlembagaan yang bersejarah ini dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Loke, DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan akan berkempen secara bersungguh-sungguh dalam pilihan raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan demi kemenangan PH di kedua-dua negeri tersebut.



