KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani tidak bercadang mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun Johor dan Negeri Sembilan sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, setakat hari ini tiada sebarang usaha dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya umum awal waktu.
“Tentang pilihan raya umum yang awal, waktu ini tidak ada perbincangan mengenai sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya umum awal,” katanya pada sidang media pasca Kabinet pada Jumaat.
Sementara itu, Fahmi menjelaskan hubungan sesama pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masih harmoni meski wujud gerakan solo di peringkat negeri.
“(BN Johor gerak solo) tidak ada kesan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi berjalan dengan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah dan bukan hanya rasa hormat tapi seperti biasa.
“Tidak ada kesan kepada hubungan yang erat dikalangan pimpinan di peringkat Persekutuan,” ujar Fahmi.
Ditanya kewajaran mengadakan PRN ketika dunia berdepan cabaran ekonomi akibat konflik Asia Barat, Fahmi berkata Johor dan Negeri Sembilan bertindak atas kuasa negeri masing-masing.
“Di Johor dan Negeri Sembilan, permohonan daripada Menteri Besar kedua-dua negeri tersebut telah diperkenan oleh Raja yang berdaulat.
“Jadi DUN telah terbubar, kita lalui proses,” kata Fahmi.



