KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyangkal mengenai satu senarai calon BN yang sedang bertebaran di media sosial dan aplikasi WhatsApp, beliau menganggapnya sebagai sebaran palsu dan tidak benar.
Menteri Besar Johor itu menegaskan, Sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat melalui saluran rasmi parti.
“Saya mengambil maklum mengenai satu senarai calon BN yang sedang bertebaran di media sosial dan aplikasi WhatsApp. Saya ingin menegaskan bahawa senarai tersebut adalah palsu dan tidak benar.
“Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengamalkan sikap tabayyun, menyemak fakta terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita.
“Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab. Jangan benarkan berita palsu memudaratkan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri Johor yang kita cintai,” pesan Onn Hafiz.



