PUTRAJAYA — Pelaksanaan biodiesel B15 bagi kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia telah bermula secara rasmi pada 1 Jun lalu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh agenda kelestarian negara, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta meningkatkan penggunaan minyak sawit tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan biodiesel B15 merupakan langkah penting dalam menyokong komitmen Malaysia terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain mewujudkan sumber tenaga alternatif yang lebih mampan.
“Penggunaan biodiesel B15 bagi kenderaan diesel telah bermula pada 1 Jun tempoh hari. Kita ingin menggalakkan mereka yang menggunakan diesel supaya beralih menggunakan biodiesel B15 yang kini sudah mula ditawarkan di stesen-stesen minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai lawatan media ke terminal pengedaran biodiesel di Selangor Valley Distribution Terminal (SVDT) bagi melihat sendiri proses pengadunan, penyimpanan serta pengedaran biodiesel sebelum dibekalkan kepada pengguna.
Jelasnya, penggunaan biodiesel bukan sahaja memberi manfaat kepada industri sawit negara malah membantu Malaysia mencapai sasaran kelestarian yang ditetapkan kerajaan.
“Biodiesel ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menyokong agenda ESG dan mewujudkan persekitaran yang lebih hijau. Sebab itu kita sangat menggalakkan penggunaan biodiesel di Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan program tersebut, Noraini menjelaskan biodiesel B15 kini boleh didapati di semua stesen minyak yang terlibat termasuk rangkaian Petronas dan syarikat pengendali lain.
“Setakat ini rakyat sudah boleh mendapatkannya di stesen minyak. Siapa-siapa yang menggunakan diesel boleh terus mengisi biodiesel B15 kerana ia telah mula ditawarkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa harga biodiesel B15 adalah sama seperti diesel biasa kerana harga bahan api berkenaan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
“Dari segi harga, ia sebenarnya sama dengan diesel biasa kerana penetapan harga dibuat oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan penuh biodiesel B15 dijangka menggunakan kira-kira satu juta tan minyak sawit mentah (CPO) setahun, sekali gus meningkatkan penggunaan domestik komoditi tersebut tanpa menjejaskan pasaran eksport negara.
“Jika B15 dilaksanakan sepenuhnya, penggunaan CPO yang terlibat adalah sekitar satu juta tan setahun dan ia tidak akan memberi kesan kepada pasaran eksport minyak sawit negara,” katanya.
Noraini berkata antara pertimbangan utama kerajaan dalam memperluaskan penggunaan biodiesel adalah untuk memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara, terutama ketika berdepan ketidaktentuan bekalan bahan api global.
“Salah satu perkara utama yang dibincangkan kerajaan ialah aspek keselamatan bekalan. Biodiesel berasaskan sawit merupakan alternatif yang baik dan mampu membantu negara sekiranya berlaku gangguan bekalan diesel petroleum,” katanya.



