‘Bukan milik eksklusif RTM’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selaras perancangan kerajaan membangunkan perkhidmatan siaran televisyen (TV) digital, kompleks bangunan baharu Media City dinamakan Angkasapuri Kota Media meletakkan Malaysia setanding kota besar dunia dalam bidang penyiaran digital berteknologi tinggi.

Dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu lalu, Angkasapuri Kota Media akan dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan pelbagai penyiar tempatan seperti dilaksanakan di Media City di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Manchester, United Kingdom (UK); Singapura dan Sydney, Australia.

Membabitkan kos keseluruhan RM860 juta, Angkasapuri Kota Media mempunyai 18 tingkat seluas 62,027 meter persegi merangkumi ruang pejabat; auditorium berkapasiti 1,000 orang dan studio rakaman serta latihan muzik.

Turut disediakan tiga studio TV iaitu M1, M2 dan M3; ruang letak kereta bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar.

Malah, kompleks serba canggih ini dilengkapi kafetaria dan pusat rekreasi serta eskalator terpanjang di pejabat kerajaan di Malaysia iaitu sepanjang 34.5 meter.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kemudahan disediakan di Angkasapuri Kota Media boleh dimanfaatkan penggiat industri kreatif dan agensi penyiaran swasta tempatan.

“Kemudahan di Angkasapuri Kota Media bukan eksklusif kepada RTM sahaja, sebaliknya, kompleks ini terbuka kepada agensi media lain.

“Kita berharap artis berkarya dan menggunakan kemudahan disediakan. Begitu juga penggiat industri kreatif dan penyiaran akan manfaatkan kemudahan sepenuhnya, usah jadi projek gajah putih,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Angkasapuri Kota Media di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Projek pembangunan Angkasapuri Kota Media yang dahulunya dikenali sebagai Angkasapuri bermula secara rasmi pada akhir 2016.

Kompleks ini menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras perancangan kerajaan membangunkan perkhidmatan siaran TV digital.

Annuar berharap Angkasapuri Kota Media akan menjadi pemangkin dan pencetus produktiviti kepada petugas RTM dan bekerja dalam suasana lebih kondusif.

Memetik laporan BERNAMA, Annuar juga berharap Angkasapuri Kota Media dapat meningkatkan kreativiti pengkarya kerana kemudahan dan teknologi penyiaran ditawarkan di kompleks terbabit dianggap antara yang tercanggih di Malaysia.

“Saya yakin Media City ini dapat memberikan limpahan inspirasi buat warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan RTM untuk berkhidmat dengan lebih baik buat Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain Annuar, turut hadir pada majlis perasmian Angkasapuri Kota Media adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ketua Setiausaha K-KOM, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Dalam ucapan perasmiannya, Ismail dilaporkan berkata, Angkasapuri Kota Media akan terus dibangunkan untuk menjadi pusat penyiaran negara dengan pembabitan pelbagai penyiar tempatan seperti projek Media City di luar negara.

“Walaupun perkara ini akan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan dengan jayanya, itu adalah hala tuju yang dapat dipetakan pada masa ini.

 

Annuar (tengah) mengiringi Ismail Sabri mencuba kamera di studio rakaman pada majlis perasmian Angkasapuri Kota Media di ibu negara, minggu lalu. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Annuar (tengah) mengiringi Ismail Sabri mencuba kamera di studio rakaman pada majlis perasmian Angkasapuri Kota Media di ibu negara, minggu lalu. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

 

“Kejayaan pembangunan Media City ini adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang,” katanya.

Projek Angkasapuri Kota Media memaparkan kerjasama strategik dan efektif bersama awam dan swasta dalam memastikan Malaysia membangun dengan jaya serta memberi manfaat kepada semua pihak.

Pada majlis perasmian Angkasapuri Kota Media, Perdana Menteri turut memasyhurkan nama jalan di sekitar kompleks iaitu Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Projek pembangunan Angkasapuri Kota Media bermula sejak 12 Disember 2016.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat