ASA 2022 : Pencipta Pegang Waktu diangkat Drama TV Terbaik

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pencipta Pegang Waktu terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Gambo.TV diumum Drama Televisyen (TV) Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, produksi Pencipta Pegang Waktu menerima hadiah utama Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000; wang tunai RM5,000 dan trofi.

Nor Shahila menerima hadiah kemenangan daripada Annuar atas kejayaan Pencipta Pegang Waktu meraih trofi Drama TV Terbaik pada ASA 2022 yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee
Nor Shahila menerima hadiah kemenangan daripada Annuar atas kejayaan Pencipta Pegang Waktu meraih trofi Drama TV Terbaik pada ASA 2022 yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya, malam tadi. Foto NSTP Aziah Azmee

 

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Nor Shahila Harun Shah.

Selain itu, ganjaran DKD bernilai RM150,000 dianugerahkan kepada penerbit dokumentari Social Playlist, iaitu Herbert Pua Kuo Jie selepas naskhah garapannya diangkat Dokumentari Terbaik.

Nor Shahila mengucapkan penghargaan kepada ASA 2022 atas pengiktirafan diberi.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada ASA 2022 yang mengiktiraf Pencipta Pegang Waktu sebagai Drama TV Terbaik dan terima kasih kepada TV3.

“Dengan anugerah ini dan dana diberi, kami lebih bersemangat menghasilkan drama untuk ‘kaki drama’ Malaysia,” katanya.

 

Pengarah Pencipta Pegang Waktu, Zainorhisyam diumum Pengarah Drama TV Terbaik pada ASA 2022, malam tadi. Foto Ihsan Penganjur ASA 2022
Pengarah Pencipta Pegang Waktu, Zainorhisyam diumum Pengarah Drama TV Terbaik pada ASA 2022, malam tadi. Foto Ihsan Penganjur ASA 2022

 

Selain Drama TV Terbaik, pengarah Pencipta Pegang Waktu iaitu Zainorhisyam Samudin, diumum Pengarah Drama TV Terbaik.

Pencipta Pegang Waktu yang disiarkan TV3 pada Julai 2020, dibintangi pelakon hebat antaranya Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Khir Rahman, Que Haidar,

Puteri Balqis, Azman Hassan dan Haidin Nasir.

Kisah berkisar dilema dihadapi lelaki ‘lembut’ dikenali sebagai Zakree atau Zee lakonan Que yang berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam aspek hubungan keluarga berikutan penampilan dirinya.

ASA 2022 juga menyaksikan pelakon ‘senior’, Eman Manan meraih trofi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Satu Kampung Dua Orang.

Trofi Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pula diraih pelakon ‘otai’, Khatijah Tan hasil lakonan mantap dalam drama Rabak.

ASA 2022 juga menyaksikan kategori Skrip Drama TV Terbaik dimenangi Sham Hashim menerusi drama Scammer yang disiarkan Astro Ria.

Kategori Pelakon Lelaki Drama Radio Terbaik dimenangi Beto Kusyairy menerusi drama Anugerah Terindah. Lisdawati diumum Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik menerusi drama Akhirnya Bahagia Meluruh.

ASA 2022 turut menyaksikan pelakon, Fauziah Nawi menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022. Fauziah yang mesra disapa ibu, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Terkejut dengan hadiah kereta yang diumumkan pada saat-saat akhir, Fauziah sebak dan terharu apabila doanya dimakbulkan.

“Sebenarnya, Allah sedang baik dengan saya. Saya tiada kereta dan tidak mampu beli kereta sebab sudah tua.

“Malam ini, Alhamdulillah Allah makbulkan kereta untuk saya… Terima kasih,” katanya.

Selain itu, ASA 2022 menyaksikan kategori Pengacara TV Terbaik dimenangi Fedtri Yahya menerusi program Jejak Rasul TV3.

Bagi kategori Penyampai Berita TV Terbaik, penyampai Buletin Utama TV3, Norliza Mohd Zain mengalahkan empat finalis lain.

Turut cemerlang Nor Izzati Lockman dari Majalah TV3 yang memenangi kategori Majalah TV Terbaik.

Bertemakan Kemuncak Kecemerlangan seiring sambutan Jubli Emas, ASA 2022 menyaksikan 72 kategori termasuk 43 kategori TV dan 22 kategori radio dipertandingkan.

ASA yang mula dianjurkan pada 1972 dianggap pengiktirafan kerajaan dalam memartabatkan penggiat seni dan karyawan industri kreatif tanah air.

Selain itu, barisan artis popular turut menghangatkan pentas acara. Artis yang membuat persembahan adalah Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Noraniza Idris, Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar dan Hazama.

Turut beraksi Amir Masdi, Haqiem Rusli, Tajul dan Wani Kayrie.

ASA 2022 dihoskan oleh Fara Fauzana, Terrence Dass dan Enn Xaviera.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat