Buka semula pawagam di Kelantan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kerajaan Kelantan dirayu menimbang cadangan agar membenarkan pawagam patuh syariah beroperasi di negeri itu.

Pelakon, Syed Aiman Syed Mahmud, 47, berkata kerajaan negeri wajar membenarkan kemudahan panggung wayang dibuka dengan mematuhi beberapa syarat yang boleh ditetapkan pihak berkuasa.

Permohonan itu dikemukakan kepada kerajaan Kelantan oleh urus setia majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di sini, Jumaat lalu, melalui sesi dialog, baru-baru ini.

Mewakili penggiat seni tanah air, Syed Aiman yang juga ‘orang kuat’ urus setia itu berkata, kerajaan negeri wajar mendengar permintaan penggiat seni yang mahukan pawagam beroperasi di Kelantan.

“Semua orang tahu di Kelantan, tiada panggung wayang.

“Sekarang ini, rakyat Kelantan kalau hendak tengok wayang, kena pergi Terengganu. Di sana terletak panggung wayang terdekat.

“Tetapi dengan adanya sesi dialog bersama EXCO kerajaan negeri, mungkin kita boleh dapat jawapan dalam usaha mewujudkan panggung wayang di Kelantan.

“Sebenarnya, panggung wayang itu di mana-mana pun boleh buat. Tetapi di Kelantan, ada syarat yang perlu dipatuhi.

“Jadi, perkara ini boleh dilaksanakan. Kita pernah dengar dahulu hendak bina panggung wayang di Kelantan, boleh, tetapi tempat duduk perempuan dan lelaki diasingkan.

 

Syed Aiman gembira permohonan agar pawagam dibenarkan beroperasi di Kelantan, mendapat reaksi positif kerajaan negeri. Foto NSTP Hazreen Mohamad
Syed Aiman gembira permohonan agar pawagam dibenarkan beroperasi di Kelantan, mendapat reaksi positif kerajaan negeri. Foto NSTP Hazreen Mohamad

 

“Selain itu, pada waktu Maghrib tiada tayangan filem. Syarat seperti itu, bagi saya mudah, kita boleh ikut,” katanya.

Sebelum ini, Panggung Lido di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu menjadi pawagam terakhir beroperasi di Kelantan sehingga 1996, sebelum dirobohkan setahun kemudian.

Berikutan itu, hampir 25 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang dan rakyat negeri itu perlu pergi ke Terengganu untuk menonton filem di pawagam.

Syed Aiman yang juga suami kepada penyanyi, Linda Rafar, gembira permohonan agar pawagam dibenarkan beroperasi di Kelantan, mendapat reaksi positif kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri tidaklah tegas menolak. Disebabkan itu, ada sesi dialog yang membincangkan mengenai kehendak penggiat seni.

“Setakat ini, Alhamdulillah, ada nampak sinar. Alhamdulillah, kerajaan sudah ambil maklum perkara ini.

“Jadi, dengan kebijaksanaan kerajaan negeri, saya percaya mereka akan mengusahakannya.

“Kami cuba memohon (agar pawagam dibuka di Kelantan), namun, keputusan dan kelulusan di tangan mereka,” katanya.

Syed Aiman juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menganjurkan majlis makan malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan, di sini.

“Ini adalah satu usaha kerajaan negeri menyokong apa yang dilakukan penggiat seni tanah air,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai acara itu, Syed Aiman berkata, majlis ramah mesra antara pimpinan negeri bersama anak seni itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua pihak.

“Kami bukan fokus kepada anak seni kelahiran Kelantan sahaja, malah, merangkumi semua.

“Majlis ini turut membabitkan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Artis Veteran Malaysia (PAVM).

“Fokus majlis ini adalah ramah mesra bersama semua anak seni. Pada sesi dialog yang dianjurkan, kerajaan negeri mahu tahu apa yang anak seni perlukan,” katanya.

Pada majlis itu, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada keluarga Allahyarham Bob Lokman.

Sumbangan itu diserahkan kepada anak keempat arwah Bob, Ahmad Rayyan bersama adiknya Ahmad Lukman, 14.

Selain bantuan kepada keluarga Allahyarham Bob, kerajaan negeri turut menyerahkan peruntukan RM15,000 kepada SENIMAN dan PAVM.

Sumbangan diserahkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kepada

semua penerima.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat