FGV Catat Untung Sebelum Cukai RM1.10 Bilion, Meningkat Berbanding Tahun Lalu

- Advertisement -

Felda Global Venture (FGV) Holdings Berhad merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.10 bilion, meningkat dua kali ganda pada separuh pertama tahun berakhir 30 Jun 2022 (TK2022) berbanding RM516 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, keuntungan operasi kumpulan mencatatkan RM1.34 bilion daripada RM524 juta, manakala hasil meningkat sebanyak 64 peratus kepada RM13.3 bilion berbanding RM8.08 bilion pada separuh pertama tahun lepas.

“Kami bercita-cita untuk menjadi perniagaan tani bersepadu dan mampan terkemuka di dunia.

“Berdasarkan prestasi separuh pertama, kami pastinya berada di landasan yang betul untuk mencatat trajektori pertumbuhan dan akan kekal optimistik bagi mencapai sasaran 2022,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, set keputusan kewangan yang cemerlang terutamanya didorong peningkatan dalam margin produk sawit adalah disebabkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.

Katanya, purata harga MSM yang direalisasikan pada separuh pertama TK2022 adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 58 peratus mencecah RM5,165 setiap tan metrik (MT), berbanding RM3,268 setiap MT pada separuh pertama TK2021.

“Selain harga MSM, prestasi kukuh tersebut juga disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada sektor logistik FGV.

“Keuntungan operasi untuk sektor logistik meningkat 41 peratus tahun ke tahun kepada RM52 juta daripada RM37 juta dengan kadar pengendalian dan pengangkutan yang lebih baik dan volum pemprosesan yang lebih tinggi untuk perniagaan pengangkutan serta penyimpanan,” katanya.

Mohd Nazrul Izam berkata, operasi huluan FGV bagi sektor perladangannya mencatatkan peningkatan dalam keuntungan operasi kepada RM567 juta, berbanding RM249 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jelas beliau, peningkatan itu didorong harga purata MSM yang lebih tinggi iaitu RM5,254 setiap MT berbanding RM3,333 setiap MT dan kadar perahan minyak (OER) yang bertambah baik sebanyak dua peratus daripada 20.16 peratus kepada 20.63 peratus.

“Bagaimanapun, kos kelapa sawit mentah (CPO Ex-Mill) meningkat 30 peratus kepada RM2,203 setiap MT berbanding RM1,699 setiap MT pada suku yang sama tahun lepas disebabkan peningkatan dalam kos pengeluaran dan pemprosesan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan, situasi buruh telah menjejaskan produktiviti akibat kehilangan tanaman.

“Dalam menangani isu ini, FGV sedang giat mengambil pekerja dari negara tuan rumah dan sehingga Julai, kami telah menerima 647 pekerja asing dari India.

“Liputan pekerja kami pada masa ini mencapai 62 peratus dan kami optimis untuk menerima 7,000 pekerja menjelang akhir tahun untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat