Percutian dalam negara tak kurang seronoknya

- Advertisement -

KITA masih berjuang melawan Covid-19, belum menang mahupun sembuh daripada ‘kecederaan’ angkara wabak ini.

Cuma yang memberi kekuatan untuk terus bertahan dan melawan pandemik ini kerana ada tanda untuk pulih.

Banyak pihak yang ‘tercedera’ apabila musibah Covid-19 melanda dunia, antaranya industri pelancongan. Sebelum pandemik Covid-19 mula membadai, industri pelancongan dunia berkembang pesat dengan dapat dilihat pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan selain tiket penerbangan ke negara yang mempunyai destinasi popular ibarat pisang goreng panas terjual, sentiasa menjadi rebutan, malah ada yang terjual setahun lebih awal.

Ibarat satu trend masyarakat, kita juga untuk bercuti ke luar negara kerana melancong kini bukan lagi perkara eksklusif untuk golongan berada saja. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri melalui sedikit usaha dan rajin membuat survey serta bacaan di internet, percutian bajet ke luar negara boleh direalisasikan.

Bagaimanapun, apabila Covid-19 semakin serius, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan, pintu sempadan ditutup, aktiviti ekonomi dan sosial dilarang kecuali bagi perkhidmatan penting. Ketika inilah, kita melihat industri pelancongan negara ‘sakit teruk’ kerana pemilik pusat pelancongan tidak dapat menjalankan perniagaan, tempahan daripada pelanggan dibatalkan, hotel besar mahupun kecil sepi tanpa pelancong, malah ada yang terpaksa angkat bendera putih dan gulung tikar akibat himpitan kos operasi yang tinggi.

Industri pelancongan negara mula dilihat bernafas kembali apabila kerajaan mula beralih kepada PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan untuk rakyat Malaysia melakukan aktiviti di luar rumah selain sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.

Selepas lama terkurung kerana PKP dan PKP Bersyarat, pastinya bercuti ke tempat tarikan pelancong adalah antara aktiviti utama yang dipilih oleh rakyat. Disebabkan pintu sempadan masih ditutup, pilihan yang ada untuk rakyat Malaysia adalah melancong di dalam negara saja dan bagi penulis, negara kita mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik belum kita terokai keindahan serta keistimewaannya.

Melancong di dalam negara juga sebenarnya turut membantu menghidupkan kembali industri pelancongan negara yang terjejas teruk kerana ia adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia iaitu kira-kira 15.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebelum PKP dilaksanakan pada Mac, sehingga Februari 2020 saja negara sudah mencatatkan kerugian RM3.37 bilion akibat pembatalan pakej pelancongan apabila Covid-19 mula tersebar pada Disember 2019. Bayangkan berapa banyak kerugian yang ditanggung negara dari Mac sehingga Jun pula?

Atas sebab itu, pemain industri pelancongan menghela nafas lega dan ibarat mati hidup semula selepas melihat sambutan baik rakyat Malaysia yang bersedia beralih kepada pelancongan domestik ketika PKPP.

Tindakan pantas kerajaan yang memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dilihat turut memberi nyawa tambahan untuk industi pelancongan negara untuk kekal berdaya serta terus bertahan.

Bagaimanapun, ketika semua rakyat Malaysia teruja untuk melancong ke pelbagai lokasi di dalam negara, jangan pula terleka dan alpa bahawa Covid-19 masih ada dan terdedah untuk dijangkiti yang seterusnya menjangkiti pihak lain pula. Seperti sedia maklum, kita kini berada dalam fasa PKPP kerana negara menunjukkan beberapa petunjuk positif ke arah pemulihan daripada penularan Covid-19.

Tanda untuk pulih tidak menjamin kita akan pulih kerana sudah timbul kegusaran kerajaan apabila berlaku semula peningkatan kes jangkitan dan pertambahan kluster baharu ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kebimbangan Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik melebihi bacaan 1.6.

Menurutnya, kadar R0 sudah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika pelaksanaan PKP Bersyarat yang berakhir 9 Jun lalu. Kerajaan juga sudah memberi amaran awal PKP akan dilaksanakan semula sekiranya kes jangkitan Covid-19 mencecah tiga angka.

Punca peningkatan ini mudah saja, ada yang pentingkan diri, tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan. Contoh mudah, beberapa kes individu yang pulang dari luar negara tidak mematuhi tempoh kuarantin di kediaman selama 14 hari.

Amalan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri ketika berada di tempat awam juga mula diabaikan.

Jika PKP dilaksanakan semula, industri pelancongan negara bukan lagi akan kembali ke situasi sakit teruk, tetapi bertukar ke tahap nazak kerana ahli ekonomi sudah memberi amaran impak lebih besar dan berganda kepada ekonomi negara kerana lebih banyak perniagaan akan gulung tikar serta ramai kehilangan pekerjaan.

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Usim serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat