KUALA LUMPUR – Rombakan Exco Perlis bagi penggal baharu dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri Indera Kayangan itu memacu pembangunan negeri supaya lebih agresif dan terus berdaya saing.
Pelantikan kali ini turut membawa masuk Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah serta Adun Guar Sanji selama dua penggal, Mohd Ridzuan Hashim.
Selain itu, Exco Srikandi Bersatu Pusat, Datin Marzita Mansor yang juga Adun Sena turut dipilih menyertai kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus menambahkan lagi bilangan wanita dilantik sebagai Exco negeri itu.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata beliau melihat rombakan kali ini dapat membentuk satu gandingan yang mantap untuk bekerja lebih keras dan agresif bagi membangunkan negeri itu selaras titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu ini akan terus menjalankan khidmat kepada rakyat dan pembangunan negeri bermula hari ini sehingga tamat penggal pada 2027.
“Insya-Allah, dengan pasukan yang kita ada ini, diharap semua dapat bekerja lebih mantap seperti dikehendaki Raja Perlis supaya kerajaan negeri menjadi agresif membangunkan negeri untuk kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, kita berharap hubungan kerajaan negeri dan Pusat dapat diperkukuhkan khususnya menerusi Exco yang dilantik ini dengan membawa balik dana pembangunan untuk rakyat di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis bagi penggal ke-15 di Istana Arau, di Perlis yang dihadiri Tuanku Syed Sirajuddin.
Majlis turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Rahimi Ismail dan barisan Exco serta Adun lain.
Katanya, dalam masa sama juga peranan Exco yang digugurkan tidak dilupakan dan kepakaran mereka akan terus ditagih khususnya dalam membawa pelaburan ke negeri ini.
“Peranan bekas Exco tidak dipinggirkan dan akan terus digunakan untuk pembangunan negeri khususnya untuk jawatankuasa pelaburan dan sebagainya kerana pengalaman mereka diharap dapat membantu negeri membawa masuk pelaburan ke sini,” lapor BH di Perlis.
Ditanya mengapa pelantikan Adun kanan dan senior tidak dilakukan lebih awal terutama ketika PN diberi mandat mentadbir Perlis pada November 2022 selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Shukri berkata ia untuk memberi peluang semua Adun berkelayakan memegang jawatan Exco kerajaan negeri.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis kini meningkat daripada lapan kepada sembilan Exco dengan enam daripadanya daripada PAS dan bakinya adalah Adun Bersatu dan dalam rombakan terbaru ini, dua Adun Bersatu dari Tambun Tulang dan Pauh iaitu Wan Zikri Afthar Ishak dan Megat Hashirat Hassan digugurkan.