Penampakan UFO di Sabah? MOSTI minta orang awam berhati-hati, jangan sentuh objek mencurigakan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan menerima maklumat awal berhubung laporan penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada malam 4 Jun lalu.

MOSTI dalam kenyataan hari ini berkata, maklumat itu diterima melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) susulan laporan orang awam mengenai kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan setakat ini tiada laporan rasmi mengenai penemuan sebarang serpihan objek yang disyaki objek angkasa seperti roket sama ada di darat atau perairan.

“Pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh BPAngkasa dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, MOSTI menasihatkan orang awam supaya tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan sekiranya menemui sesuatu yang dipercayai berkaitan kejadian tersebut.

Orang ramai diminta segera melaporkan penemuan objek mencurigakan kepada pihak berkuasa, talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa di talian 03-8885 8685.

Laporan juga boleh dibuat melalui e-mel kepada ([email protected])(mailto:[email protected]).

MOSTI turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penampakan cahaya terang itu dan mendapatkan maklumat sahih daripada saluran rasmi.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kejadian penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah itu sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi orang awam, termasuk dakwaan dan spekulasi mengenai kemungkinan objek tidak dikenali atau UFO.

Namun setakat kenyataan MOSTI dikeluarkan, tiada pengesahan rasmi mengenai punca sebenar penampakan cahaya tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat