“Saya disingkir bukan kerana prestasi corot tapi angkara politik” – Wan Zikri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak daripada Bersatu akui kecewa dengan penggugurannya sebagai Exco Perlis hari ini yang didakwanya berkait campur tangan politik bukan prestasinynya.

Beliau memegang portfolio Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana dan Wilayah Ekonomi Baharu, Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif negeri sejak 16 Dis tahun lalu.

Wan Zikri percaya beliau telah memberikan prestasi terbaik seperti membantu Perlis menang 12 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak selain menambah peruntukan RM1.8 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis.

“Bila saya tanya MB (Mohd Shukri Ramli) sebab digugurkan beliau hanya kata kerana politik tapi maksudnya itu kamu kena tanya beliau…bukan sebab prestasi tak baik.

“Saya diberitahu nama saya tak diletakkan sebab bukan pilihan…boleh semak dengan Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) adakah wujud campur tangan, saya faham mungkin sebab hierarki parti.

“Pada saya pencapaian harus jadi keutamaan dan mengatasi segala-galanya, nak singkir tunggulah setahun lalu supaya saya sempat buat banyak lagi kerja,” lapor FMT pada Isnin.

Wan Zikri turut mendakwa beliau diberitahu Shukri akan kekal sebagai Exco jika dapat membawa balik banyak pingat pada Sukma Sarawak dan selesaikan pelbagai masalah.

“Tapi selesaikan pun tak terus juga, saya percaya kepada KPI.

“Tetapi maksudnya sini tak perlu kerja keras pun asalkan dapat menggembirakan seseorang pun boleh kekal,” katanya.

Turut digugurkan Adun Pauh Megat Hashirat Hassan, juga dari Bersatu yang sebelum ini memegang portfolio kesihahan, kebajikan dan pengurusan bencana, sains, teknologi, inovasi dan teknologi hijau, alam sekitar dan perpaduan negeri.

Tempat mereka digantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah (Adun Kuala Perlis) dan Adun Sena Marzita Mansor yang mengangkat sumpah sebagai exco bersama Adun Guar Sanji dari PAS Mohd Ridzuan Hashim di hadapan Raja Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, hari ini.

Sebagai rekod, Abu Bakar pernah mengisytiharkan perang terhadap Shukri tahun lalu dan mendesak pesuruhjaya PAS itu meletak jawatan selepas namanya tiada dalam senarai exco kerajaan Perlis buat kali kedua tahun lalu, walaupun sudah mendapat surat sokongan dari Muhyiddin.

Sementara itu, Megat Hashirat berkata keputusan itu mungkin dibuat berdasarkan perancangan pentadbiran Shukri yang diyakini telah membuat pertimbangan sebaiknya.

“Setakat sekarang tiada (punca disebabkan isu dalaman Bersatu), jadi pertukaran itu atas pertimbangan strategi MB.

“Saya anggap ini satu hikmah, apapun saya tetap bersama MB dan rakan-rakan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat