KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata industri pelancongan memainkan peranan penting bagi memacu pembangunan negara.
Beliau menyeru semua kementerian dan agensi yang berkaitan bagi mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai peneraju industri pelancongan serta agenda nasional yang strategik.
“Langkah ini secara langsung menyokong agenda pelancongan mampan dan memperkasakan ekonomi tempatan.
“Saya percaya, kerjasama rapat antara kementerian dan agensi adalah amat penting dalam mewujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk pembangunan industri pelancongan negara secara lebih pesat dan berdaya saing.
“Ia juga akan membolehkan sebarang isu yang timbul diatasi segera selain mengelakkan kekeliruan dari segi bidang kuasa, kawal selia dan penguatkuasaan, khususnya dalam menjayakan penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bilangan 3 Tahun 2024 di Kompleks Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Mesyuarat ini turut membincangkan isu penting, termasuk pengoperasian bas persiaran, penyelarasan perancangan penginapan sewaan jangka pendek (Short-Term Rental Accommodation – STRA), perancangan taman kenderaan rekreasi serta menyentuh tentang pembangunan program inap desa sebagai persiapan menyeluruh bagi menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026.
“MOTAC bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan perbincangan berkaitan isu pengoperasian bas persiaran, termasuk langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan jalan raya yang turut melibatkan warganegara asing.
“Perbincangan ini turut merangkumi penyelarasan pelan komunikasi serta penetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan situasi tersebut dapat ditangani dengan cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah menetapkan bahawa MOT, melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengawal selia pelesenan kenderaan pelancongan berdasarkan empat kriteria utama.
“Antaranya, kenderaan mestilah memiliki lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang sah, dipasang dengan sistem global positioning system (GPS), mematuhi had usia kenderaan maksimum 15 tahun, serta memastikan pengendali menghadiri latihan Industrial Code of Practice (ICOP) Keselamatan.
“Syarat-syarat ini bertujuan memastikan pengendali beroperasi secara sah, sekaligus menjamin keselamatan penumpang,” katanya.
Selain itu jelasnya satu garis panduan baharu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Kabinet, bertujuan menyediakan kerangka kerja komprehensif bagi mengawal selia aktiviti Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA) di Malaysia.
“Garis panduan ini memastikan pematuhan kepada perundangan semasa, memudahkan proses pelesenan, dan menangani isu gangguan komuniti seperti bunyi bising, kekurangan tempat letak kereta, pembuangan sampah, serta penyalahgunaan fasiliti bersama.
“STRA, yang menyediakan alternatif penginapan mampu milik, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dengan unjuran ketibaan 35.6 juta pelancong menjelang tahun 2026.
“Pengoperasian STRA akan mewajibkan pemilik premis untuk mendaftar dan mendapatkan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pembangunan sebuah platform digital khusus untuk pengurusan STRA telah dicadangkan bagi memastikan daya saing Malaysia dalam sektor pelancongan terus dipertingkatkan,” katanya.