Marzuki dedah Bersatu sedia pertimbang tiga syarat PAS sebelum hubungan diputuskan

KUALA LUMPUR – Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendedahkan Bersatu sebenarnya bersedia mempertimbangkan tiga syarat yang dikemukakan PAS bagi memulihkan hubungan kedua-dua parti sebelum keputusan memutuskan kerjasama diumumkan.

Menerusi satu catatan di Facebook pada Selasa, Marzuki berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian ketika konflik antara Bersatu dan PAS semakin memuncak, termasuk melalui beberapa pemimpin kanan kedua-dua parti.

Menurut beliau, antara usaha yang dibuat ialah mengatur pertemuan antara Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman Muhyiddin pada 4 Jun lalu.

Katanya, dalam pertemuan itu Annuar menyampaikan pandangan PAS mengenai isu-isu yang menjadi punca konflik antara kedua-dua parti, manakala Muhyiddin turut menjelaskan pendirian Bersatu.

“Akhirnya, kami bersetuju isu-isu ini tidak perlu diungkitkan lagi kerana kedua-dua parti mempunyai pandangan masing-masing.

“Lagipun, Tan Sri Muhyiddin telah menziarahi Presiden PAS di Rusila sempena majlis sambutan Aidilfitri Bersatu di Terengganu tempoh hari. Mereka berdua telah bermaafan,” katanya.

Marzuki berkata antara perkara yang dibincangkan dalam usaha mencari penyelesaian ialah cadangan menerima penyertaan parti-parti Melayu-Islam lain ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau menjelaskan Bersatu pada dasarnya tidak menolak penyertaan parti-parti tersebut dan perkara itu boleh diselesaikan menerusi mekanisme yang dipersetujui bersama.

“Yang penting ialah pembahagian kerusi dalam pilihan raya. Tan Sri Muhyiddin pun pernah membuat kenyataan mereka boleh menggunakan logo PN dalam pilihan raya.

“Maknanya, Tan Sri Muhyiddin tidak menolak parti-parti ini. Malah beliau yang terlebih dahulu merangkumkan parti-parti ini dalam jaringan PN menerusi Inisiatif Perikatan Rakyat (IPR) ketika menjadi Pengerusi PN,” katanya.

Menurut Marzuki, isu lain yang turut dibangkitkan ialah keperluan untuk Bersatu memperbaiki hubungan dengan kumpulan RESET.

Beliau mengakui perkara itu bukan mudah kerana masih terdapat kesan daripada konflik terdahulu, namun Bersatu bersedia berbincang sekiranya ia penting bagi memastikan perpaduan dalam PN terus terpelihara.

Marzuki turut mendedahkan bahawa pada 6 Jun lalu, Muhyiddin menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS yang menggariskan tiga syarat bagi memulihkan hubungan kedua-dua parti.

Tiga syarat tersebut ialah Bersatu perlu membersihkan persepsi negatif terhadap PAS, menerima penyertaan parti-parti lain ke dalam PN serta bersedia duduk semeja dengan kumpulan RESET.

Menurut beliau, surat itu memberi gambaran bahawa hubungan PAS dan Bersatu masih boleh diselamatkan sekiranya syarat-syarat berkenaan dipenuhi.

“Saya menarik nafas lega membaca surat ini. Ia tidak jauh berbeza daripada apa yang disampaikan oleh Tan Sri Annuar Musa.

“Saya berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin bahawa syarat-syarat ini boleh dipertimbangkan oleh Bersatu demi menjaga perpaduan dan keutuhan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata Muhyiddin kemudiannya membalas surat tersebut pada 7 Jun dengan menyatakan kesediaan Bersatu untuk meneliti syarat-syarat berkenaan melalui Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Namun, sehari selepas itu, Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Marzuki berkata beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka walaupun berpandangan masih terdapat ruang untuk kedua-dua pihak mencari penyelesaian.

“Sebagai sebuah parti politik, PAS tentunya memikirkan untung rugi politik dalam menentukan hala tuju partinya, termasuklah hubungan dengan rakan-rakan gabungan.

“Saya ada ramai sahabat dalam PAS. Walaupun hubungan politik telah putus, harapnya hubungan persahabatan tidak putus,” katanya.
-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat