Tiada pilih kasih salur dana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menolak dakwaan mengamalkan pilih kasih dalam menimbang permohonan pelbagai jenis dana kerajaan yang disalurkan melalui agensi itu kepada pembekal kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata agihan dana dibuat mengikut kaedah sistematik dan pemilihan kriteria yang cukup mantap untuk disalurkan kepada pihak berkelayakan.

“Kerajaan melalui FINAS menawarkan banyak dana untuk diagihkan kepada golongan yang layak bagi menggalakkan industri perfileman tanah air.

“Ada pihak bertanya kenapa mohon dana FINAS, tetapi tidak pernah dapat?

“Justeru, kami buka peluang kepada mereka yang layak untuk memohon dana dari FINAS.

“Melalui kepemimpinan baharu, FINAS akan memastikan semua pihak yang mendapat dana memberi hasil diharapkan.

“Kita tidak mahu, selepas dapat duit, hasilnya tiada,” katanya.

Md Nasir berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pensyarah dan pelajar untuk memohon dana sebanyak RM10,000 bagi menghasilkan kandungan kreatif dalam media sosial.

“Pensyarah juga boleh memohon dana yang sesuai untuk menghasilkan filem dokumentari dengan menjalin kerjasama dengan syarikat produksi dan sebagainya.

“Selain itu, FINAS menawarkan dana untuk pembangunan modal insan. Permohonan juga dibuka kepada persatuan atau syarikat untuk menganjurkan bengkel dan kursus berkaitan perfileman di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Tujuannya adalah supaya modal insan dapat dibangunkan,” katanya.

Md Nasir berkata demikian pada forum Antara Cantik dan Bakat di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Forum itu dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama FINAS serta FSSK, UKM sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32, bulan depan.

Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

 

Zurainah, Md Nasir, barisan artis dan penuntut UKM pada  forum Antara Cantik dan Bakat di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di Dewan Perdana, FSSK, UKM Bangi, baru-baru ini.
Zurainah, Md Nasir, barisan artis dan penuntut UKM pada forum Antara Cantik dan Bakat di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? di Dewan Perdana, FSSK, UKM Bangi, baru-baru ini.

 

Md Nasir berkata, FINAS mempunyai banyak fungsi untuk menggalakkan sektor perfileman diperluaskan.

“Kerajaan salurkan dana kepada FINAS setiap tahun untuk diagihkan kepada mereka yang layak untuk menggalakkan pembangunan industri perfileman tempatan.

“Antara usaha FINAS adalah tawaran rebat tunai 30 peratus melalui insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan sehingga lima peratus kepada produser filem tempatan dan dari luar negara.

“Ini juga suatu usaha untuk menggalakkan produser filem dari luar negara untuk melakukan penggambaran filem di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai insentif FIMI, kata Md Nasir, produser tempatan yang menjalani penggambaran dalam negara dengan perbelanjaan minimum RM1 juta, layak mendapat rebat tunai 30 peratus dan tambahan lima peratus.

“Produser dari luar negara yang melakukan penggambaran di Malaysia dengan perbelanjaan RM5 juta akan mendapat rebat tunai 30 peratus dengan tambahan lima peratus melalui ‘cultural test’ jika memaparkan elemen kenegaraan, kesenian, kebudayaan dalam filem dihasilkan.

“Melalui insentif FIMI, kami juga menetapkan produser dari luar negara perlu menggunakan sebanyak 30 peratus dari tenaga tempatan ketika melakukan penggambaran filem di negara ini.

“Sebab itu, kita perlu bangunkan modal insan kerana tidak cukup tenaga mahir dan kru berkualiti untuk memenuhi keperluan produser luar yang membuat penggambaran di negara ini,” katanya.

Melalui Bahagian Penggalakan Penggambaran pula, Md Nasir berkata, FINAS menyediakan tapak untuk produser tempatan menghadiri pasaran filem di luar negara.

“Selain menghadiri pasaran filem, produser juga boleh membeli kandungan dan menjual filem mereka kepada negara luar,” katanya.

Selain itu, Md Nasir berkata, satu daripada cara meluaskan pasaran filem tempatan ke luar negara adalah dengan menjalin kerjasama atau ‘co-production’ dengan penerbit dari luar negara seperti Thailand, Pakistan, Iran dan Turki.

“Berdasarkan pengalaman saya ke Bangkok, sebelum ini, ada syarikat filem terbesar di sana yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan kita.

“Selain ada insentif FIMI, mereka berpendapat lokasi penggambaran di Malaysia lebih menarik berbanding Thailand kerana kita ada pulau, air terjun dan hutan hujan berbanding di sana yang banyak sungai,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir berkata, FINAS berperanan membangunkan ekosistem membabitkan pengedaran filem dan panggung wayang yang turut memainkan peranan penting untuk menggalakkan lagi industri perfileman di Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat