KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Umno menjelaskan, keputusan itu diambil selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bertanding di semua 36 kerusi DUN.
“Ya, di Negeri Sembilan pasti (BN) bergerak solo kerana PH telah mengumumkan mereka bertanding di seluruh 36 kerusi.
“Ertinya, mereka akan letakkan calon di semua kawasan DUN. Justeru, kita tidak ada pilihan, melainkan kita terpaksa bertanding secara solo,” katanya.
Pada PRN Ogos 2023, BN memenangi 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.
PH pula menguasai 17 kerusi menerusi kemenangan 11 kerusi oleh DAP, lima kerusi oleh PKR dan satu kerusi oleh Amanah.



