MCMC arah tindakan segera tingkatkan kualiti liputan perkhidmatan komunikasi di Kampung Tinagat, Tawau

TAWAU, 8 Jun 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan lawatan ke Kampung Tinagat, Tawau baru-baru ini susulan aduan yang diterima daripada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat berhubung kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di kawasan berkenaan.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat. Dalam lawatan itu, MCMC telah menjalankan sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi di tiga (3) lokasi yang dikenal pasti di kawasan tersebut bagi menilai tahap perkhidmatan yang diterima oleh pengguna.

Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati bahawa dua (2) daripada tiga (3) lokasi ujian tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan oleh MCMC. Dapatan pengujian tersebut telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei 2026 lalu untuk tindakan lanjut.

Sehubungan dengan itu, penyedia perkhidmatan yang berkenaan telah diberikan tempoh tujuh (7) hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian tersebut. Notis di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana- mana penyedia perkhidmatan yang gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam usaha memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat untuk mengambil tindakan sewajarnya di kawasan terjejas. CelcomDigi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.

MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat ditangani dengan berkesan serta memastikan penduduk setempat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat