KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar digesa segera menentukan hala tuju kepimpinan PN di Negeri Sembilan memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan. Namun sehingga hari ini, PN masih belum melantik Pengerusi Negeri dan belum mengadakan sebarang mesyuarat rasmi bagi menyelaraskan persiapan pilihan raya.
Katanya, ini bukan lagi kelewatan biasa tetapi kecuaian kepimpinan yang serius.
“Sebagai Pengerusi PN Samsuri bertanggungjawab memastikan struktur kepimpinan negeri dan gerak kerja pilihan raya dimuktamadkan sebelum DUN dibubarkan, bukannya selepas.
“Hakikat bahawa perkara asas ini masih tergantung ketika pilihan raya semakin hampir membuktikan kegagalan membuat persiapan yang sewajarnya.
“Di peringkat akar umbi, jentera sedang menunggu arahan dan hala tuju yang jelas. Malangnya, yang kedengaran hanyalah kesunyian. Tiada arahan, tiada penyelarasan dan tiada kepimpinan yang kelihatan. Kelewatan membuat keputusan bukan tanda berhati-hati. Ia adalah tanda kelekaan yang akhirnya akan dibayar mahal di peti undi.
“Lebih membimbangkan, PN juga masih gagal menjelaskan kedudukan gabungan itu selepas Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu. Isu ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan masa depan dan kelangsungan gabungan itu sendiri.
“Berdiam diri bukan satu bentuk diplomasi. Berdiam diri adalah petanda bahawa tiada jawapan yang mampu diberikan,” tegasnya.
Sri Sanjeevan yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu berkata, gambaran keseluruhannya amat jelas. Tiada Pengerusi Negeri, tiada mesyuarat penyelarasan dan tiada penjelasan mengenai hala tuju gabungan.
Menurutnya, ini bukan sekadar satu atau dua kelemahan pengurusan tetapi kegagalan kepimpinan yang menyeluruh di peringkat tertinggi.
“Dalam politik, kekosongan kepimpinan tidak akan kekal kosong. Ia akan diisi oleh keraguan, perpecahan dan hilangnya keyakinan.
“Jika keadaan ini tidak diperbetulkan dengan segera, PN tidak perlu menunggu hari pengundian untuk mengalami kekalahan. Kekalahan itu sedang berlaku sekarang, perlahan-lahan dan dari dalam.
“Kepada Pengerusi PN, rakyat tidak memerlukan kenyataan yang indah didengar. Rakyat memerlukan kepimpinan yang tegas dan berkesan.
“Pas selama ini begitu berbangga dengan kualiti kepimpinan Datuk Seri. Kini tiba masanya untuk membuktikannya melalui tindakan, bukan sekadar dakwaan,” katanya.



