KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pemain dram bertaraf antarabangsa, Yussef Dayes akan menghiburkan peminat di Malaysia pada siri jelajah Asia di Rex KL di ibu negara, Jumaat ini.
Penganjur konsert, Collective Minds Asia dan RK Live Asia teruja membawa pemuzik itu beraksi di Kuala Lumpur sebagai projek sulung mereka.
Wakil Collective Minds, Zarran Vachha berkata, Yussef cukup dikenali sebagai pemuzik muda dalam arena muzik jazz di London, United Kingdom (UK).
“Yussef menggemparkan dunia muzik bukan sahaja melalui bakat dan muzik unik, malah melalui penampilan visualnya.
“Kami yakin Yussef bakal menyentuh hati penonton dengan persembahan memukau dan peluang ini tidak seharusnya dilepaskan,” katanya.
Yussef mula menunjukkan kecenderungan bermain muzik, terutama jazz sejak berusia empat tahun.
Jejaka ini mula dikenali menerusi kumpulan adik-beradiknya, United Vibrations.
Minat Yussef kepada alat muzik dram berputik apabila bapanya membelikan kit dram pertama buat anaknya itu.
Dilahirkan dan dibesarkan di London, Yussef membina bakat melalui latihan muzik tanpa henti.
Semuanya kerana ibu bapa Yussef cukup tegas dan mahukan anak mereka serius jika hendak menjadikan muzik sebagai karier.
Bapa Yussef adalah pemain bes di New York, Amerika Syarikat (AS) pada era 1970-an dan sering membawa pulang koleksi piring hitam muzik jazz yang menjadi asas pendidikan muzik buat Yussef dan adik-beradiknya.
Yussef dan abangnya, Kareem yang juga bermain bes, akan berlatih bersama sambil mendengar piring hitam dibeli bapa mereka berjam-jam.
Sementara itu, Yussef dalam kenyataan menyebut, beliau mempelajari muzik jazz secara tidak formal sehingga usia 10 tahun, apabila berpeluang belajar di bawah bimbingan Billy Cobham, iaitu pemain dram Miles Davis.
Yussef berkata, elemen muzik dihasilkannya banyak dipengaruhi hip hop kerana rakan seusia di sekolah menggemari genre muzik sedemikian.
“Tenaga sama digabung dengan alunan muzik berbeza saya salurkan ke dalam irama dram saya.
“Ini diperkayakan lagi dengan koleksi muzik reggae bapa yang berasal dari Jamaica, serta muzik kegemaran mendiang ibu seperti The Beatles dan irama country serta minat abang pada trek irama ‘jungle’.
“Saya membesar dengan pelbagai genre muzik. Kepelbagaian itu digabungkan bersama bunyi yang didengari ketika merantau ke Senegal.
“Ini boleh dirasai menerusi hasil gubahan bunyi yang bertenaga dan eklektik,” katanya yang akan turut mempersembahkannya pada konsertnya nanti.
Album Black Focus dilancarkan Yussef pada 2016 menerapkan elemen ‘dancefloor’ dan ‘breakbeat’ yang diselitkan dengan elemen funk, muncul sebagai satu daripada rekod jazz paling diiktiraf.
Bingkisan itu menawarkan gabungan bunyi UK dengan muzik yang popular di AS sehingga memenangi 2017 Jazz FM untuk anugerah Best Breakthrough Act.
Pada 2018, Yussef menghasilkan album solo berjudul Love Is The Message. Pada 2019, perjalanan solonya terus berkembang dengan penghasilan single bertajuk Duality yang merangkumi lagu seperti For My Ladies dan Othello.
Sebagai bukti kepelbagaian dalam skop kerjanya, pada 2019, Yussef menerbit dan menjadi kurator muzik bagi acara makan malam Louis Vuitton (LV) di Minggu Fesyen Lelaki Paris, Perancis disusuli persembahan Dior Homme di Tokyo, Jepun pada 2021.
Ketika itu, Yussef bekerjasama dengan tokoh fesyen terkenal, mendiang Virgil Abloh dan Benji B.
Pada 2020, Yussef bersama rakan pemuzik dari South East London, Tom Misch menerbitkan album bersama bertajuk What Kinda Music yang diedar di bawah label jazz legenda, Blue Note.
Album itu menyajikan muzik pelbagai genre dan berjaya menarik perhatian ramai peminat muzik antarabangsa hingga menduduki tempat teratas kategori Album Jazz Kontemporari Semasa pada Carta Billboard AS.
Berita Harian