Chean Chung letak jawatan ahli MPP PKR, dakwa kepimpinan enggan betulkan kesilapan parti

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung hari ini secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR namun akan terus menjalankan tugas sebagai ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.

Chean Chung mendakwa, PKR hari ini bukan lagi PKR yang beliau kenali dahulu.

“Barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti. Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka.

“Selepas meletakkan jawatan parti, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen atas kapasiti ahli biasa parti, untuk menyemak imbang kerajaan dan memastikan beberapa rang undang-undang reformasi pada bulan Jun iaitu had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya, dan Akta Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah 18 tahun menyertai PKR dan 8 tahun menyandang jawatan di peringkat pusat parti.

“Dari tahun 2008 hingga 2011, saya berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanggungjawab menyediakan analisis serta penyelidikan dasar dan strategi untuk kira-kira 30 orang Ahli Parlimen.

“Pada tahun 2012, saya sekeluarga pulang ke Kuantan untuk memulakan perkhidmatan di akar umbi. Asalnya pilihan raya umum diramal akan diadakan dalam jangka pendek, namun akhirnya saya terpaksa bertahan selama 18 bulan dengan menggunakan simpanan sendiri. Pada 5 Mei 2013, saya berjaya memenangi kerusi DUN Semambu — satu kerusi yang tidak pernah ditembusi sejak tahun 2004.

“PKR pada waktu itu tidak mengamalkan budaya di mana “pemimpin pusat turun sebagai calon payung terjun, menabur wang dengan sumber yang dikuasai” pada waktu itu.

“Pusat khidmat pertama yang saya cari ketika itu sebenarnya boleh digelar sebagai “ruang kongsi”, kerana saya tidak mampu menyewa keseluruhan premis, sebaliknyahanya mampu menyewa separuh ruang pejabat tingkat atas di Jalan Haji Ahmad, Kuantan. Rasa segan dan rasa bersalah berbaur apabila diimbau semula pengalaman ini, kerana pembantu pertama saya, Encik Pang, hanya mampu saya berikan elaun minyak sebanyak RM300 sebulan.

“Hari ini, ramai VIP boleh terus memperoleh sumber yang besar untuk bergerak di akar umbi. Malah, Madani Mart pun sudah dibuka di Kuantan, sesuatu yang sukar dibayangkan pada ketika itu.

“Perayaan Kuih Bulan menjalinkan hubungan antara masyarakat Tionghua dengan gerakan Reformasi ketika itu. Rakan-rakan seperjuangan lama PKR sudah tentu masih ingat perarakan tanglung, serta jualan kuih bulan yang dicetak dengan logo parti untuk kutipan dana. Ramai antara rakan Melayu saya mencuba Kuih Bulan halal buat kali pertama,” katanya.

Chean Chung juga memberitahu, tiada konsep “peruntukan” untuk pembangkang ketika itu. Untuk mengutip dana aktiviti, kami perlu turun sendiri ke kedai kopi, tapak ceramah, pasar pagi dan pasar malam sambil menjual akhbar Suara Keadilan (RM2 senaskhah).

“Saya juga pernah mengajak ramai penjaja membantu menganjurkan jualan amal; kupon pula dijual pada harga RM10, senaskah demi senaskah. Andainya diimbas, tidak terbayar saya hutang budi itu, dan sudah tentunya terpaksa dibawa mati.

“Di samping dana, parti juga perlu menyediakan pelapis baharu dan membina jambatan komunikasi dengan masyarakat, untuk kita perkembangkan parti.

“Ketika saya memegang jawatan Ketua Penerangan AMK, kami menganjurkan program #KenaliKeadilan bagi membolehkan ahli-ahli baharu memahami perjuangan parti dengan lebih mendalam. Program ini berjaya memberi peluang kepada anggota-anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian untuk mengenali wadah politik baharu mereka ketika itu.

“Memandangkan rakyat Pahang pada waktu itu sangat prihatin terhadap isu alam sekitar, saya turut menggerakkan penubuhan Biro Alam Sekitar. Saya beserta rakan-rakan sehaluan juga pernah ke Tasik Chini untuk membantah pencemaran air tasik yang bertukar merah akibat perlombongan bijih besi. Entah dari mana datangnya keberanian itu, saya pernah masuk ke pedalaman Baram, Sarawak secara bersendirian, selama hampir dua minggu untuk membantah pembinaan empangan yang bakal menenggelamkan tanah perkuburan nenek moyang masyarakat Orang Ulu. Ketika itu, tiada isyarat telefon dikesan dalam kawasan pedalaman, sehingga keluarga saya bimbang sama ada saya telah dibaham buaya,” kongsi beliau.

Beliau memberitahu, pada 9 Februari 2015, sehari sebelum Anwar Ibrahim dipenjarakan, saya bersama rakan-rakan seperjuangan menganjurkan majlis makan malam solidariti di Padang Timur, Petaling Jaya, yang dihadiri ribuan orang.

“Selepas Anwar dipenjarakan, kami segera menggerakkan kempen #Kitalawan sepanjang tahun 2015 hingga 2016 untuk menuntut pembebasan Anwar, siasatan terhadap Najib, dan reformasi institusi. Ketika itu PAS sudah keluar dan Pakatan Rakyat telah berpecah.

“Saya menyaksikan sendiri bagaimana himpunan di Sogo yang pada awalnya kecil dan lengang, kemudian berkembang semakin besar seiring dengan perkembangan isu 1MDB dan pelbagai isu lain. Ia benar-benar satu keajaiban kuasa rakyat. Malangnya, saya dan beberapa rakan telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Kami berdepan dengan risiko kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat dan saya terpaksa berulang-alik banyak kali dari Kuantan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri prosiding mahkamah.

“Pada masa itu juga, kami melancarkan kempen “Sejuta Tandatangan Bebaskan Anwar”. Tidak cukup dengan mencukur kepala sendiri, ramai lagi yang kami bawa ke hadapan bangunan Parlimen, sama ada ditarik mahupun ditolak, untuk mencukur kepala. Kesemua ini tidak lain tidak bukan untuk membangkitkan semangat orang ramai dalam suasana yang agak suram dan hambar sebermulanya.

“Pada tahun 2018, akhirnya kerajaan persekutuan bertukar! Selepas pemilihan parti, saya dilantik sebagai Bendahari Agung. Ketika itu saya memperkenal Geran Impak Keadilan, bagi membiayai aktiviti akar umbi yang mempunyai tujuan dan nilai perjuangan yang jelas. Sehingga hari ini, masih ramai yang bertanya mengapa selepas PKR menjadi kerajaan, tiada lagi program tetap dengan kaedah permohonan yang jelas untuk membantu ahli parti menjalankan kerja-kerja di lapangan.

“Pada tahun 2022, selepas ditugaskan sebagai Pengarah Komunikasi, bagi memperbaiki kerja penerangan parti dalam pelbagai bahasa, saya membawa masuk Chi Leong dan sekumpulan tenaga baharu ke ibu pejabat PKR untuk membentuk pasukan pelbagai bahasa yang baharu. Banyak kali kami menjelajah ke seluruh negara untuk berkongsi kemahiran media sosial dan TikTok.

“Dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15, halaman ke-42, PH berjanji bahawa: PH akan menyediakan dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu. Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO),” katanya.

Menurut beliau, kini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim telah menjadi Perdana Menteri.

“Namun, pengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya yang saya wakili telah dihukum pada 29 Mei 2026 apabila akses kepada sistem MyKhas dibatalkan, menyebabkan kami tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.

“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah. Sehingga kini, hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan bahawa ini adalah akibat daripada pilihan politik, sedangkan PKR masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi kepada saya dan para pengundi.

“Saya menulis panjang lebar bukan untuk membandingkan diri dengan sesiapa, tetapi sekadar ingin merumuskan pengorbanan zaman muda dan sedikit sumbangan saya selama bertahun-tahun. Sebenarnya, apa yang saya lakukan seorang diri tidaklah sebesar mana,berbanding budi orang yang saya terhutang, serta kepercayaan dan sokongan tanpa syarat yang telah diberikan kepada saya. Isteri dan anak-anak saya juga terpaksa mengikut saya ke sana sini lantaran pilihan politik saya sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan sokongan mereka, saya tidak akan berada di sini pada hari ini.”

“Sekiranya saya mengidamkan sumber dan kemudahan, saya tidak akan menyertai demonstrasi tanpa ragu-ragu sebaik Anwar Ibrahim dipenjarakan, sehingga hampir kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pencen saya sendiri ketika itu. Begitu juga pada hari ini. Jikalau apa yang saya mahu hanyalah peruntukan, boleh sahaja saya memilih untuk berdiam diri seperti ramai yang berada dalam parti, agar semua berjalan lancar seperti biasa, seolah-olah tiada kesilapan yang perlu diperbetulkan.

“Tetapi itu bukan perwatakan saya. Itu juga bukan Chean Chung yang dikenali orang ramai sehingga sudi untuk terlibat dalam aktiviti jualan amal, perarakan tanglung, dan jualan akhbar Suara Keadilan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat