KUALA LUMPUR – Mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah “pengasas” Perikatan Nasional (PN) adalah tahyul yang perlu dihapuskan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, ini hanya hujah dari mereka yang cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan PN.
“Sudah sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai dewata raya yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya,” bidas bekas pimpinan Bersatu itu.
Kata Wan Saiful, sekarang sudah tular senarai pemimpin-pemimpin yang hadir dalam mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 di Aras 4, Menara Parlimen.
“Jelas sekali bahawa yang hadir dalam mesyuarat yang akhirnya melahirkan PN adalah 12 orang yang merangkumi parti Pas, Bersatu, Gerakan dan MIC.
“Nyata bahawa PN bukan lahir dari tangan seorang individu yang sedang cuba didewakan oleh Bersatu sahaja.
“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN. Sekali lagi, ini pun tahyul.
“Idea asal penubuhan PN, serta asal usul terciptanya nama PN, langsung tidak melibatkan Muhyiddin,” tegasnya.
Sebaliknya kata Wan Saiful, ada tiga orang yang terlibat dalam melahirkan cadangan penubuhan PN, dan salah seorang dari tiga ini menandatangani surat kepada Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada masa itu untuk mengangkat cadangan tersebut.
“Itulah kali pertama idea penubuhan dan nama PN dizahirkan. Langsung tiada penglibatan Muhyiddin.
“Orang ke-4 pula merupakan penulis surat setebal 38 mukasurat yang dihantar kepada Tun Mahathir untuk mencadangkan penubuhan PN.
“Pada waktu yang sama, ada dua orang lagi – iaitu orang ke-5 dan orang ke-6 – yang terlibat dalam merekacipta logo PN yang ada sekarang. Selepas itu Muhyiddin ada bagi cadangan gambar pokok untuk jadi logo. Tapi cadangan itu ditolak. Yang diterima ialah cadangan yang diangkat oleh orang ke-5 dan orang ke-6 ini.
“Saya sengaja tidak mahu sebut nama enam orang ini sebab saya belum minta kebenaran dari mereka. Saya harap mereka sendiri akan tampil mematikan tahyul yang cuba dibawa oleh Bersatu ini.
“Kalau orang yang menandatangani surat 38 mukasurat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik. Biar semua orang tahu bahawa Muhyiddin hanya datang kemudian, tapi langsung tak malu nak “claim credit”, selar beliau.



