Apa Kesan Darurat Politik Kepada Rakyat?

- Advertisement -

CYBERJAYA – Secara asasnya Darurat Pentadbiran atau juga dikenali sebagai darurat politik bukanlah membabitkan pemerintahan tentera seperti mana yang difahami ramai apabila disebut darurat.

Tujuan utama darurat pentadbiran ialah membolehkan sesuatu Dewan Undangan Negeri atau Parlimen digantung sementara bagi tujuan menstabilkan keadaan politik dan memudahkan pentadbiran negara.

Pengisytiharaan perintah darurat bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik pernah dilakukan sebelum ini di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977.

Menurut Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz, ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri. (Perkara 150(4)).

SuaraTV difahamkan jika darurat pentadbiran ini dilaksanakan di peringkat Persekutuan, Yang Di Pertuan Agong (Agong) akan menggantung sidang Parlimen dan menjalankan pentadbiran darurat selama tempoh tertentu, dijangka antara 6 bulan sehingga setahun.

Agong juga akan melantik kabinet darurat bagi membantu baginda melaksanakan tugas-tugas pentadbiran. Dijangkakan Baginda akan mengekalkan barisan kabinet sedia ada sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum pada Jun 2021 nanti.

Kehidupan Rakyat

Darurat politik ini tidak akan menjejaskan kehidupan seharian rakyat. Tidak ada perintah berkurung atau sekatan perniagaan dan ekonomi. Bursa Malaysia dan lain-lain sektor ekonomi akan beroperasi seperti biasa.

Anda tidak akan melihat kelibat pasukan tentera masuk ke dalam penempatan awam atau bandar kerana ia tidak membabitkan aspek keselamatan.

Undang-undang juga dilaksanakan seperti biasa. Peranan Polis, peguam, pendakwaraya, kehakiman berjalan mengikut undang-undang sedia ada.

Namun tiada undang-undang baharu dapat digubal, dipinda atau diluluskan sepanjang tempoh ini.

Satu-satunya kepentingan darurat politik ini ialah kerajaan dapat mejalankan tugas pentadbiran dalam mencegah penularan Covid-19 dan membelanjakan kewangan negara tanpa kelulusan Parlimen.

Walaupun dalam jangkamasa panjang ia satu keburukan, namun dalam keadaan ketidaktentuan politik sekarang, mengistiharkan darurat politik mungkin satu-satunya pilihan yang rasional sehingga keluk jangkitan pandemik Covid-19 ini kembali mendatar.-SUARATV.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat