PUTRAJAYA — Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti bagi menetapkan sasaran baharu penyertaan calon wanita menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Wanita Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian calon wanita pada pilihan raya sebelum ini yang mencatatkan kadar kemenangan sekitar 25 hingga 26 peratus boleh dijadikan asas untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam politik.
Menurut beliau, peratusan tersebut merupakan antara pencapaian terbaik yang pernah dicatatkan oleh calon wanita dalam pilihan raya.
“Sebelum ini, sekitar 25 hingga 26 peratus calon wanita berjaya menang dan menjadi wakil rakyat. Kita akan berbincang dengan Menteri Besar serta Presiden parti mengenai sasaran yang ingin dicapai.
“Setakat ini, angka sekitar 26 peratus itu merupakan pencapaian tertinggi yang pernah kita capai.
“Selepas ini mungkin kita mahu 26 peratus atau mungkin lebih sedikit daripada itu.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai lawatan media ke terminal pengedaran biodiesel di Selangor Valley Distribution Terminal (SVDT) di sini hari ini.
Noraini berkata, usaha memperkasakan wanita dalam politik akan terus menjadi agenda penting BN bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding dan menyumbang dalam proses membuat keputusan.
Beliau menambah, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan dan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan wanita, sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan jumlah calon wanita pada PRN Johor akan datang.



