Taman Negara Beroperasi Semula Hari Ini

- Advertisement -

KUANTAN, 23 Okt — Taman Negara Kuala Tahan yang terletak kira-kira 200 kilometer dari sini, dibenarkan untuk kembali beroperasi hari ini, selepas ditutup kepada orang awam pada 6 Okt sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung keputusan itu malam tadi.

Keputusan itu, menurut Mohd Sharkar adalah perkara yang wajar memandangkan Pahang tidak terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang terlibat yang dapat menerima permohonan kami supaya keputusan menutup sementara Taman Negara ditarik semula kerana kita sedang berusaha merancakkan semula sektor pelancongan negeri bagi membantu pengusaha resort dan pemandu pelancong.

“Mereka sudah terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan baru hendak kembali bernafas apabila arahan penutupan dikeluarkan. Jadi, keputusan baharu ini membolehkan orang ramai yang sudah membuat tempahan awal, bercuti seperti dirancang,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Sharkar juga menasihatkan pengusaha resort, pemandu pelancong serta pengunjung Taman Negara untuk menghargai peluang itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk menjaga aspek penjarakan fizikal.

Untuk rekod, dilaporkan terdapat 170 pemandu pelancong, 38 pengusaha penginapan dan 17 agensi pelancongan di Taman Negara selain 78 pengusaha bot di Sungai Tahan dan 30 orang di Sungai Tembeling mencari makan dengan membawa masuk pelancong ke pusat rekreasi tersebut.

Pada Selasa lepas, Mohd Sharkar dilaporkan meminta pihak berkaitan meneliti semula arahan penutupan Taman Negara sebagai langkah berwaspada kerana peningkatan kes COVID-19, yang dilihat menjejaskan mata pencarian pengusaha resort dan pemandu pelancong di situ.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung Kuala Tahan Abdul Jalil Abd Rahman berkata mereka kini sedikit lega apabila tuntutan memorandum pada 19 Okt lepas supaya arahan penutupan itu ditarik balik mendapat perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kami kena manfaatkan saki-baki masa yang ada untuk menarik semula pengunjung kerana berkemungkinan tidak dapat beroperasi pada pertengahan November disebabkan Monsun Timur Laut. Mungkin sukar kerana ramai yang sudah membatalkan tempahan namun kami perlu mencuba,” katanya. -BERNAMA

Foto kredit: Facebook Taman Negara

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat