MCMC kuat kuasa pengesahan umur 16 tahun bagi pengguna media sosial mulai hari ini

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bermula hari ini bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan CPC mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial berlesen mengamalkan pendekatan “safety by design” serta menyediakan perlindungan yang bersesuaian dengan umur pengguna kanak-kanak.

Menurut suruhanjaya itu, selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu melaksanakan langkah pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun. Pengesahan tersebut hendaklah dibuat menggunakan rekod yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf kerajaan.

“Mulai 1 Jun 2026, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen hendaklah memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh platform media sosial yang terlibat. Pengguna yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan atau penggantungan dikenakan.

Keperluan baharu itu melibatkan platform media sosial berlesen seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap aspek keselamatan dalam talian dan perkembangan kanak-kanak.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan tersebut dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu, RMC turut mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah perlindungan secara proaktif termasuk penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.

MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua pengguna.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat