NGO Patriot Pertikai Keputusan Henti Lesen Jual Arak Di KL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) akhirnya bersuara apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyentuh isu arak bukan hal berkaitan menangani atau membanteras rasuah.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji mempersoalkan adakah arak lebih buruk dari rasuah sehingga kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan membuat keputusan menghentikan lesen penjualan minuman keras itu mulai Oktober tahun depan?

Beliau turut menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary yang menyatakan kemungkinan kerajaan akan memperluaskan larangan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka di seluruh negara sebagai tidak masuk akal.

“Cuba beritahu kami mana lebih buruk, minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Keburukan mana yang paling menarik orang Melayu?

“Beritahu kami antara dua keburukan ini, mana harus diambil tindakan terlebih dulu, menentang larangan minuman keras atau menghapuskan rasuah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Annuar Musa mengenai Garis Panduan Baharu Lesen Minuman Keras (LMK) di Wilayah Persekutuan yang berkuat kuasa 1 Oktober tahun depan tidak ada kena mengena dengan soal agama mahupun kaum.

Sebaliknya, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pengenalan garis panduan itu semata-mata untuk mengawal penjualan minuman keras secara terbuka.

Sementara itu di Kota Bharu, Ahmad Marzuk dilaporkan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan menerima komen positif dari masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula Oktober tahun depan.

Menurut Mohamed Arshad, tindakan kerajaan PN itu seperti cubaan campur tangan dalam urusan orang bukan Islam.

Jelas beliau, orang ramai, terutama bukan Islam sedang memerhati apa yang dinyatakan oleh pemimpin Pas sebelum ini.

“Orang bukan Islam sering diberi jaminan tidak akan dikenakan peraturan berkaitan dengan Islam dan urusan agama, termasuk isu Hudud.

“Orang bukan Islam diberitahu mereka boleh mengambil makanan tidak halal selagi agama mereka mengizinkan,” katanya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat