Billie Eilish kuasa baharu muzik era digital

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mengabadikan momen indah bersama lebih 25,000 peminat pada konsert sulung di Malaysia, kelmarin, bintang elektropop, Billie Eilish membuktikan bakat dan gerak hati berkongsi 1,001 kisah dalam lagu, meletakkan remaja berusia 21 tahun ini sebagai kuasa baharu muzik digital.

Konsert Billie Eilish : Happier Than Ever, The World Tour yang menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, meninggalkan isyarat bahawa Eilish yang mula meraih perhatian peminat pada 2015, hampir pasti terus berkarya melewati usia remaja dengan mempertaruhkan muzik dan identiti sendiri.

Melalui persembahan sejam 30 minit itu, Eilish yang tampil dengan gaya santai blaus, celana pendek dan sneakers, tidak meninggalkan mana-mana ruang kosong dalam aksi ‘solid’ yang merungkai perjalanan seninya yang setakat ini sudah mengumpul tujuh trofi Anugerah Grammy.

Sekadar pentas minimalis tanpa gimik, Eilish memukau penonton dengan vokal gemersik yang berubah mengikut tempo lagu hingga ada kalanya lantang, menambahkan keterujaan peminat yang sanggup beratur 10 jam lebih awal untuk menyaksikan idola kesayangan beraksi di depan mata.

Memulakan persembahan dengan lagu Bury A Friend, Eilish yang tampil bersama abangnya, O’Connell dan pemain dram, Marshall, memberi isyarat konsert menjanjikan adrenalin penonton mengalir laju. Foto Ihsan @JINCOFFICIAL
Memulakan persembahan dengan lagu Bury A Friend, Eilish yang tampil bersama abangnya, O’Connell dan pemain dram, Marshall, memberi isyarat konsert menjanjikan adrenalin penonton mengalir laju. Foto Ihsan @JINCOFFICIAL

 

Memulakan persembahan dengan lagu Bury A Friend, Eilish yang tampil bersama abangnya, Finneas O’Connell dan pemain dram, Andrew Marshall, memberi isyarat konsert menjanjikan adrenalin penonton mengalir laju.

Tenggelam dalam jeritan peminat, Eilish menguasai stadium dengan aksi bersahaja dan rentak tari yang menjadi ‘tanda dagang’ dirinya yang diangkat majalah Time dalam senarai 100 individu berpengaruh dunia pada 2021.

Bijak berinteraksi di pentas, Eilish memuji peminat yang memenuhi ruang di stadium berkenaan.

“Saya sayang anda semua. Saya tidak jangka tenaga anda luar biasa. Biarpun ini kunjungan pertama ke negara ini, saya rasa macam sudah lama kenal anda semua.

“Saya bersyukur sangat ada peminat seperti anda. Anda memberi makna besar kepada hidup saya,” katanya.

Emosi Eilish dalam mendendangkan lagu terserlah, baik melalui segmen rancak mahupun dendangan melankolik yang meruntun hati peminat.

Kebijaksanaan Eilish dan abangnya, O’Connell mencipta lagu yang membawa ‘rasa’ sebenar atau realiti hidup remaja seusia mahupun individu lebih dewasa, menjadi kekuatan kepada duo ini dalam mengumpan peminat dari pelbagai peringkat umur.

Mengotakan janji meninggalkan kenangan manis buat peminat pada konsert itu, segmen pertama dihangatkan lagi dengan rangkaian lagu rancak iaitu I Didn’t Change My Number, NDA, Therefore I Am, My Strange Addiction dan I Don’t Wanna Be You Anymore.

Tampil dengan rambut hitam, Eilish terus melayan emosi peminat melalui lagi Lovely, You Should See Me In A Crown, Billie Bossanova, Goldwing, Oxytocin, Ilomilo dan Your Power.

Ketika mahu mendendangkan single terbaru, The 30th sambil diiringi petikan gitar O’Connell, Eilish berterus-terang dia mungkin ‘terkucil’ berikutan lagu berkenaan sukar dibawa.

“Lagu ini sukar dinyanyikan… Saya mungkin akan ‘sucks’ (gagal). Ada beberapa bahagian pada lagu ini amat payah untuk dialunkan,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh penonton yang turut mendendangkan lagu melankolik itu.

Perasaan terbuai apabila Eilish mendendangkan lagu Getting Older yang dipetik daripada album terbarunya, Happier Than Ever.

Paparan zaman kanak-kanak Eilish melalui koleksi foto dan video pada skrin LED, menyentuh hati. Melalui bait lirik yang diperdengarkan, Eilisih antara lain bercerita kisah meniti kedewasaan dan ‘battle’ yang perlu dihadapi sejak bergelar selebriti.

Seperkara yang nyata, Eilish yang dilahirkan pada 18 Disember 2001 tampak matang, bukan sahaja melalui permainan vokal dan penghayatan, malah interaksi dan tahap keyakinan tinggi yang ditunjukkannya di pentas.

Dalam kelompok penghibur seusia, Eilish meletakkan standard yang tinggi, berkat sokongan dan idea kreatif dicerna bersama abangnya.

Dengan diiringi Marshall, mereka bertiga mementaskan konsert memukau bersama bantuan peralatan digital canggih yang tidak memerlukan ramai tenaga belakang tabir.

Andai hampir tiada kesalahan dilakukan Eilish ketika beraksi, namun kedudukan pentas yang jauh daripada penonton yang membeli tiket tempat duduk, mengecewakan ramai peminat seperti ciapan dilayangkan di Twitter dan TikTok sebaik konsert bermula.

Tidak pasti bagaimana kedudukan pentas dan susun atur audiens dibuat, peminat yang membeli tiket berdiri dianggap paling bertuah.

Eilish mengakhiri konsert dengan lagu Happier Than Ever yang menjadi judul album terbarunya. Adrenalin penonton kembali laju terutama pada akhir single berkenaan yang bernada tinggi dalam gema rock.

Meninggalkan peminat dengan kenangan manis, Eilish hampir pasti bertandang lagi ke Kuala Lumpur penangan aksi sulungnya di Bukit Jalil.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat