Afidavit Undang Yang Empat dakwa pengumuman MB bercanggah dengan perjalanan Sidang DKU 17 April

SEREMBAN – Selepas hampir dua bulan pelbagai spekulasi berhubung tindakan Undang Yang Empat terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri, satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban kini memberikan gambaran paling terperinci setakat ini mengenai apa yang didakwa berlaku dalam Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu.

Afidavit tersebut difailkan oleh Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong dalam saman terhadap Setiausaha DKU, DKU dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Daripada keseluruhan afidavit itu, jelas bahawa plaintif bukan sekadar mempertikaikan keputusan yang diumumkan selepas sidang tersebut, tetapi turut mempersoalkan cara mesyuarat itu dipanggil, bagaimana ia dijalankan dan bagaimana keputusan akhirnya dibuat.

Menurut afidavit berkenaan, surat jemputan menghadiri Sidang Khas DKU hanya diterima pada 16 April 2026, sedangkan mesyuarat dijadualkan berlangsung pada jam 9.30 pagi keesokan harinya di Istana Besar Seri Menanti.

Plaintif mendakwa perkara itu luar daripada kebiasaan kerana mesyuarat DKU lazimnya dipanggil sekurang-kurangnya seminggu lebih awal bagi membolehkan ahli-ahlinya menyusun jadual rasmi masing-masing.

Lebih penting, mereka mendakwa tiada agenda mesyuarat disertakan bersama surat jemputan tersebut.

Menurut afidavit itu, pada kebiasaannya agenda mesyuarat, nota mesyuarat dan minit mesyuarat terdahulu akan diedarkan beberapa hari lebih awal supaya ahli-ahli dapat membuat persediaan sebelum menghadiri sidang.

Malah plaintif mendakwa agenda mesyuarat hanya diperoleh apabila mereka membuka fail yang telah diletakkan di atas meja masing-masing selepas memasuki bilik mesyuarat.

Afidavit itu turut mendakwa Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau tidak menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri sidang khas berkenaan.

Menurut afidavit tersebut, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat adalah untuk mendengar laporan aduan daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong berkaitan Undang Luak Sungei Ujong.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa mereka terkejut apabila empat individu yang bukan ahli DKU turut hadir dalam sidang berkenaan.

Mereka ialah Sarifah Norzaidah binti Syed Nordin, Wan Mohd Fadzli bin Mohd Yusoff, Shaharumzaman bin Abdul Malik dan Faridzwan bin Abdul Ghafar.

Menurut afidavit itu, Sarifah Norzaidah merupakan ibu kepada Wan Khairil Adli Mohd Yusoff, bekas Dato’ Johan Tua Tahu Luak Sungei Ujong yang didakwa telah dipecat pada November 2024.

Wan Mohd Fadzli pula didakwa abang kepada Wan Khairil Adli.

Shaharumzaman bin Abdul Malik pula didakwa bekas Dato’ Orang Kaya Laksamana Sungei Ujong yang telah dipecat pada Mac 2026 manakala Faridzwan bin Abdul Ghafar merupakan Dato’ Dagang Lenggeng yang digantung tugas pada Februari 2025.

Plaintif mendakwa kedua-dua individu pertama kemudiannya dipanggil untuk membacakan kenyataan berhubung dakwaan salah laku terhadap Undang Luak Sungei Ujong.

Di sinilah, menurut afidavit tersebut, bantahan mula berlaku.

Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong mendakwa mereka membantah serta mempersoalkan kelayakan individu-individu berkenaan untuk hadir dan bercakap dalam sidang DKU kerana mereka mempunyai hubungan langsung dengan pihak yang telah dipecat atau dikenakan tindakan oleh Lembaga Adat Sungei Ujong.

Lebih penting, afidavit itu mendakwa pihak-pihak yang hadir termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Setiausaha DKU mengetahui status individu-individu tersebut.

Bagaimanapun, menurut plaintif, bantahan tersebut diketepikan dan sidang diteruskan.

Afidavit itu seterusnya mendakwa perkara yang paling mengejutkan berlaku apabila Yang di-Pertuan Besar selaku pengerusi mesyuarat didakwa membuat keputusan secara bersendirian dan membacakan satu teks yang telah disediakan lebih awal bagi melucutkan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.

Plaintif mendakwa mereka tidak pernah bersetuju dengan keputusan tersebut.

Malah mereka menegaskan bahawa di bawah adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar tidak mempunyai kuasa untuk secara bersendirian melucutkan kedudukan mana-mana pemerintah negeri tanpa keputusan yang sah daripada institusi berkaitan.

Menurut afidavit itu, bantahan mereka sekali lagi tidak dipedulikan dan pembacaan keputusan tersebut diteruskan sehingga selesai.

Plaintif turut mendakwa selepas keputusan itu dibacakan, Yang di-Pertuan Besar menitahkan Menteri Besar Negeri Sembilan membuat pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut.

Pada petang hari yang sama, Menteri Besar mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan DKU menasihatkan penerimaan pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra.

Afidavit tersebut menjadi penting kerana buat pertama kali ia menjelaskan secara terperinci mengapa Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar memilih mencabar proses tersebut di mahkamah.

Daripada perspektif plaintif, isu yang dipertikaikan bukan sekadar keputusan akhir yang diumumkan pada 17 April lalu, tetapi sama ada keseluruhan proses yang membawa kepada keputusan tersebut mematuhi adat, amalan DKU dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, semua dakwaan yang terkandung dalam afidavit tersebut masih merupakan dakwaan pihak plaintif dan belum diputuskan oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat