Serap aura The Beatles

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika menceburi dunia seni sembilan tahun lalu, impian gadis ini untuk merakamkan album di The Abbey Road Studios, London, United Kingdom (UK) hanyalah angan-angan yang tersimpan kemas dalam hati.

Namun, berkat doa yang sering dipanjatkan, Sissy Imann mendapat peluang keemasan menghasilkan album di studio ikonik yang sinonim dengan kumpulan legenda, The Beatles itu.

Sissy menjadi artis tempatan ketiga dan penyanyi wanita pertama merakamkan lagu di The Abbey Road Studios selepas Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Kugiran Masdo.

Sissy yang mempunyai pendidikan dalam bidang muzik, enggan mempersiakan peluang itu biarpun terpaksa berdepan cakap-cakap belakang yang mempersoalkan keputusan merakamkan album di luar negara.

Sissy Imann atau nama penuh, Sissy Imann Mohammad Kamil, 26, menjelaskan langkah merakamkan album di London bukanlah bermaksud dia menolak keupayaan studio rakaman tempatan.

“Sissy akui ada banyak studio rakaman berkualiti di Malaysia, namun apa yang Sissy buat adalah mencari pengalaman dan mengejar kepuasan.

“Sebagai individu yang mempunyai pendidikan dalam bidang muzik, Sissy perlu menambah kemahiran dan peluang itu Sissy dapat ketika berada di London.

“Selain menimba ilmu dan mempelajari budaya kerja di UK, Sissy dapat melihat peralatan studio yang canggih serta berpeluang bermain piano yang pernah dimainkan kumpulan The Beatles di studio itu,” katanya kepada BH Online.

Ditanya tidakkah bimbang jika ada pihak menuduhnya berlagak, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu ini lebih selesa bersikap positif.

“Biasalah, semua orang berhak memberi pendapat. Saya tidak ada hak menghalang pandangan orang terhadap keputusan saya itu.

“Setiap orang ada minat mereka sendiri. Kalau hendak kata saya berlagak hanya kerana merakamkan album di luar negara, terpulanglah pada mereka.

 

Sissy menjadi artis tempatan ketiga dan penyanyi wanita pertama merakamkan lagu di The Abbey Road Studios selepas Allahyarham Sudirman dan Kugiran Masdo. Foto IG Sissy Imann
Sissy menjadi artis tempatan ketiga dan penyanyi wanita pertama merakamkan lagu di The Abbey Road Studios selepas Allahyarham Sudirman dan Kugiran Masdo. Foto IG Sissy Imann

 

“Saya hanya mampu bersikap positif apabila berdepan situasi itu,” kata Sissy ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Gemilang bersama Astro di Bandar Sunway, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kempen yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 dan Hari Malaysia itu merangkumi pelbagai program menarik dan aktiviti bermanfaat untuk rakyat.

Berkongsi pengalaman merakamkan album di The Abbey Road Studios, pengacara Muzik Muzik 36 ini mengakui prosedurnya agak berbeza dengan sesi rakaman di Malaysia.

“Kalau di Malaysia, proses rakaman lagu biasanya membabitkan rangkap demi rangkap ataupun bahagian korus terlebih dahulu.

“Tetapi di sana, saya perlu menyanyikan lagu dari mula sampai habis.

“Jika hendak dibaiki sesuatu bahagian, saya kena menyanyi dari awal. Jadi, kiranya, proses rakaman di UK sama seperti membuat persembahan secara ‘live’,” katanya yang dapat menghabiskan proses rakaman selama 10 jam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat