BINTULU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau rapat usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi susulan kebakaran melibatkan sebuah menara telekomunikasi di Sungai Plan di sini pada Sabtu lalu.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden tersebut menjejaskan kira-kira 11,500 pengguna di kawasan sekitar Sungai Plan, Kidurong serta sepanjang jajaran Lebuh Raya Pesisir.
Menurut kenyataan itu, pengguna terlibat berkemungkinan mengalami gangguan perkhidmatan dan sambungan rangkaian yang tidak stabil.
“SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan Sacofa supaya melaksanakan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan impak kepada pengguna serta mempercepatkan proses pemulihan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk pengoptimuman rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran selain pemasangan Portable Base Transceiver Station (PBTS) sebagai penyelesaian sementara bagi memulihkan liputan telekomunikasi dalam tempoh lebih singkat.
Menurut SKMM, kerja-kerja pemulihan sepenuhnya di menara yang terjejas memerlukan tempoh tertentu untuk diselesaikan.
“Kaedah pengoptimuman rangkaian sedia ada serta penggunaan PBTS akan berfungsi sebagai langkah mitigasi sementara bagi mengurangkan gangguan liputan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna terjejas,” katanya.
Tambah SKMM, pelaksanaan langkah mitigasi itu sedang dijalankan dan dijangka selesai secara berperingkat sehingga Rabu ini.
SKMM turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kerja-kerja pemulihan serta bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan dan agensi berkaitan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya dalam kadar segera.


