KJ jawab Najib kritik jumlah vaksin harian, batal temu janji suntik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab kritikan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Najib Razak berkenaan jumlah vaksin harian yang didakwanya tidak mencapai sasaran 150,000 hingga 160,000 rakyat sehari.

Beliau membidas bekas Perdana Menteri itu dengan mengatakan “jangan tulis dan promosi di Facebook sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran.

Hal ini kata Khairy, hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) P ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meninggalkan komen dalam hantaran Facebook Najib, katanya, sebelum ini beliau telah beberapa kali menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Najib berkaitan jumlah vaksinasi harian.

“Jumlah 150,000-160,000 kita sasarkan pada pertengahan tahun (Fasa 3) apabila lebih banyak bekalan diterima dan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) dibuka. Tapi nampaknya, penjelasan saya mungkin tidak berjaya memuaskan hati Datuk Seri.

“Tetapi tidak mengapa, pada minggu hadapan, kita akan mengadakan taklimat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat. Surat jemputan telahpun dihantar dan disahkan telah diterima oleh pegawai Datuk Seri. Surat jemputan menerusi emel serta melalui Whatsapp kepada pegawai Datuk Seri juga telah dihantar. Jadi saya berharap Datuk Seri dapat hadir pada hari tersebut dan boleh terus memberi pandangan atau lontarkan persoalan berkenaan PICK ini.

“Dalam pada Datuk Sri mempersoalkan jumlah yang ‘rendah’ ini, saya turut difahamkan Datuk Seri telah membatalkan temujanji vaksinasi yang ditetapkan kepada Datuk Seri pada 6 Mac 2021 di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

“Jadi saya berharap, Dato’ Sri dapat hadir pada temujanji yang akan ditetapkan sekali lagi nanti,” bidas Khairy di ruangan komen tersebut.

Malah ujar katanya, beliau berterima kasih kepada Najib yang sentiasa memberi teguran dan pandangan menerusi hantaran Facebook untuk memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Pada masa yang sama, saya berharap Datuk Seri juga dapat membantu menggalakkan pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di daerah Pekan memandangkan buat masa ini, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah Pekan yang telah mendaftar.

“Jangan tulis dan promosi di FB sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran. Hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan PICK ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Terima kasih Datuk Seri,” tulis beliau.

Terdahulu Najib mencatat, setakat semalam, Malaysia telah berjaya memberi 321,331 dos vaksin sejak Program Vaksinasi negara bermula sejak tiga minggu lalu.
Ini bersamaan dengan kadar 22,138 dos sehari ataupun 0.07 orang bagi setiap 100 penduduk Malaysia.

Menurut Najib kadar pemberian dos ini masih rendah dan jika tidak dinaikkan, Malaysia akan memerlukan masa 2,345 hari atau 6.4 tahun sebelum kita berjaya memberi vaksin kepada 80% penduduk Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar sekarang.

“Ianya juga lambat jika dibandingkan dengan banyak negara lain.

“Namun, saya percaya dan harap kadar pemberian vaksin Malaysia akan dinaikkan dengan berkali ganda lebih tinggi lagi pada bulan-bulan akan datang. Marilah kita bersama-sama menjayakan Program Vaksinasi negara agar Malaysia bebas Covid secepat mungkin,” katanya. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat