Najib, Ku Nan Tidak Layak Bertanding PRU15 – Majlis Peguam

- Advertisement -

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selagi mereka terikat dengan keputusan sabitan bersalah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Turut hilang kelayakan bertanding dalam PRU-15 sekiranya Parlimen dibubarkan selepas Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos ini atau lebih awal ialah bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Ini bermakna Najib dan Tengku Adnan selaku penyandang di dua kawasan Parlimen berkenaan tidak dapat mempertahankan kerusi masing-masing yang dimenangi dalam PRU lalu meskipun kes mereka sedang dalam rayuan memandangkan sabitan itu masih kekal sehinggalah dilepaskan di peringkat mahkamah lebih tinggi atau mendapat pengampunan diraja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Jawatankuasa Majlis Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, mana-mana individu termasuk pemimpin politik yang disabitkan hukuman penjara lebih setahun atau denda melebihi RM2,000 hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya selagi belum dibebaskan daripada sabitan di peringkat mahkamah atasan.

Katanya, perkara itu termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen yang memperuntukkan bahawa seorang individu tidak boleh bertanding pilihan raya jika disabitkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

“Hilang kelayakan itu termasuk mereka sedang dalam proses rayuan kerana sabitan hukuman itu masih kekal sehingga dilepaskan di peringkat mahkamah lebih tinggi.

“Sebaliknya bagi mereka sedang dibicarakan, tiada halangan untuk bertanding kerana prinsip kehakiman negara memutuskan seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah.

“Situasi ini berbeza dengan wakil rakyat yang masih memegang jawatan, mereka hanya hilang jawatan selepas gagal di peringkat rayuan,” katanya di sini, semalam.

Untuk rekod, Parlimen akan automatik terbubar selepas tempoh lima tahun iaitu dari tarikh pertama persidangan diadakan pada 16 Julai 2018.

Terdapat enam ahli Parlimen yang kini berhadapan kes mahkamah termasuk disabitkan hukuman, namun masih menanti proses rayuan di mahkamah atasan.

Antaranya, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu sedang me­rayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Mohd. Isa yang juga bekas Pengerusi Felda pula dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Sehingga kini, tuduhan di mahkamah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sedang dalam proses perbicaraan.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, seseorang individu yang disabitkan bersalah tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun dan berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan.

Beliau mengambil contoh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan selepas dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004 atas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa.

“Melainkan seseorang itu mendapat pengampunan diraja, barulah dibenarkan ber­tan­­ding pilihan raya. Tetapi sekiranya tidak, dia tidak boleh terlibat politik termasuk bertanding pilihan raya.

“Malah kalau ikut pengalaman saya selaku Pengerusi SPR, Datuk Seri Anwar tidak bertan­ding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 2014 setelah disabit bersalah berhubung satu kes liwat dan kemudian beri laluan kepada isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya. – UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat