Oleh Zihan Zari
JITRA – Siapa sangka, di sebalik buku teks dan dewan kuliah, dua pelajar asasi Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) membawa idea luar kotak menerusi Inovasi Penghadang Jalan Lestari dan mampu mencetuskan revolusi dalam keselamatan jalan raya.
Itulah bakat luar biasa yang dibuktikan oleh dua anak muda Muhammad Faiz Mohd Fatil dan Aqil Farhan Mohamad Fadli berjaya mencuri tumpuan juri sekaligus berjaya merangkul Anugerah Emas Projek Terbaik dalam Innovation Challenge 2026, yang telah berlangsung di Student Mall POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.
Menariknya, prototaip tersebut bukan sahaja dibina menggunakan bahan kitar semula, malah dilengkapi sistem sensor pintar yang mampu memberi maklum balas awal bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.
“Kami mahu selesaikan isu keselamatan penghadang jalan sedia ada yang sering mendatangkan risiko tinggi kepada pemandu. Dengan gabungan elemen hijau dan teknologi sensor.
“Kami juga harap inovasi ini dapat menyelamatkan nyawa di masa hadapan,”kata pemenang ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Menurut Ketua Jabatan Sains dan Matematik, POLIMAS, Syukrul Hassani Jamaludin, kejayaan penganjuran kali pertama ini membuktikan pelajar asasi mempunyai potensi besar untuk bergelar pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Hamizi Yahya menyifatkan program ini sebagai nadi kepada budaya reka cipta di peringkat awal pengajian.
“Kita bukan hanya mahu melahirkan graduan yang menerima teori, tetapi kita mahu jurutera masa depan yang berani berinovasi dan kompeten selari dengan kehendak industri.
“Apa yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar ini adalah satu anjakan paradigma dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” ulas beliau ketika merasmikan majlis.
Innovation Challenge 2026 menyaksikan pelbagai prototaip futuristik dipamerkan, rata-ratanya memfokuskan kepada elemen kelestarian dan kecekapan teknologi merupakan platform sulung pencarian genius tempatan, merupakan edisi sulung yang dikhaskan buat pelajar program Asasi Kejuruteraan.
Kejayaan luar biasa para peserta sekali gus memberi isyarat jelas bahawa bakat-bakat muda dalam bidang sains dan teknologi kini sudah bersedia untuk menerajui dunia inovasi negara. -SUARA.TV



