TAMPIN,– Suasana di Balai Kediaman Rasmi Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri pagi ini bertukar tegang apabila pihak polis dilaporkan menutup pintu masuk utama bagi menghalang berlangsungnya Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta satu acara khas yang melibatkan jemputan kenamaan negeri.
Beberapa kenderaan yang membawa pembesar adat dan tetamu jemputan dilihat ditahan di pintu pagar utama ketika cuba memasuki kawasan balai berkenaan.
Keadaan menjadi tegang apabila Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri sendiri kedengaran menegur pegawai polis yang bertugas dan mengarahkan supaya semua Undang Yang Empat serta Dato’ Shahbandar Sungai Ujong dibenarkan memasuki kawasan balai bagi menghadiri sidang tersebut.
Selepas beberapa minit perbincangan di pintu masuk, pihak polis akhirnya membenarkan kenderaan yang membawa pembesar-pembesar negeri memasuki kawasan balai berkenaan.
Bagaimanapun, orang awam dan petugas media dilaporkan masih tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut sehingga berita ini ditulis.
Turut kelihatan berada di pintu pagar Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin ialah Rais Yatim, yang dipercayai hadir bagi mengikuti perkembangan sidang khas berkenaan.
Sidang Khas DKU yang dijadual berlangsung hari ini mendapat perhatian meluas susulan krisis perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan, termasuk pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta beberapa keputusan yang melibatkan institusi adat negeri itu.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan mengawal kemasukan ke kawasan balai berkenaan. Begitu juga pihak penganjur sidang khas masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai perjalanan mesyuarat tersebut.


