Penerbit filem Konspirasi gagal dihubungi FINAS, penarikan tayangan disahkan pengedar

HULU KELANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara dibuat atas permintaan penerbit, namun sehingga kini pihak penerbit masih gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Menurut FINAS, pengesahan berhubung penarikan tayangan filem itu diterima daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pawagam.

Berdasarkan e-mel yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem berkenaan, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. meminta supaya tayangan Konspirasi ditamatkan bermula 28 Mei lalu.

“Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu dibintangi Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis dan Esma Daniel.

Sebelum ini, filem tersebut turut dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki hadir pada majlis tayangan perdana di TGV Alamanda, Putrajaya pada 10 Mei lalu bersama beberapa pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.

Kehadiran pimpinan tertinggi SPRM itu menyebabkan timbul dakwaan dan persepsi di media sosial bahawa filem berkenaan mendapat sokongan atau tajaan SPRM, lebih-lebih lagi apabila jalan ceritanya berkisar mengenai cabaran pegawai penguat kuasa memerangi rasuah.

Bagaimanapun, FINAS tidak mengaitkan penamatan tayangan filem itu dengan SPRM, sebaliknya menegaskan keputusan tersebut dibuat oleh pihak penerbit sendiri.

FINAS turut mengesahkan filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.

Filem itu mula ditayangkan pada 21 Mei lalu di 120 skrin pawagam seluruh negara.

Menurut FINAS, pihaknya telah beberapa kali cuba menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan menghentikan tayangan tersebut, namun masih belum berjaya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat