Indonesia ‘Lokasi Panas’ COVID-19, Pintas Filipina

- Advertisement -

INDONESIA memintas Filipina dan menjadi ‘lokasi panas’ baharu pandemik COVID-19 bagi Asia Tenggara. – Foto AFP
JAKARTA: Indonesia merekodkan lebih 4,000 kes jangkitan harian COVID-19, sekali gus memintas Filipina dan menjadi ‘lokasi panas’ baharu pandemik bagi rantau Asia Tenggara.

Republik yang mempunyai kepadatan penduduk keempat tertinggi di dunia itu mencatatkan 4,411 kes baharu, dalam tempoh 24 jam lalu, dengan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 349,160 kes dan 12,268 kematian.

Secara perbandingan, sebanyak 2,261 kes jangkitan harian dilaporkan berlaku di Filipina, menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 di negara terbabit ialah 348,698 kes.

Situasi pandemik di Indonesia dilihat bertambah meruncing apabila kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan sekatan, sehingga menyaksikan kegagalan masyarakat dalam mematuhi protokol kesihatan.

Ia termasuk keperluan memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal, namun pengkritik berpendapat bahawa percaturan pentadbiran sedemikian adalah seiring keutamaan kerajaan untuk ‘menghidupkan’ semula ekonomi, berbanding mengekang penularan wabak.

Di Filipina, kerajaannya turut mengambil langkah sama demi memacu pemulihan ekonomi negara yang kini berada dalam kemelut, meskipun pakar kesihatan memberikan amaran bahawa keputusan berkenaan berupaya mengundang gelombang penularan baharu.

Susulan pengumuman itu, kerajaan tidak memperuntukkan keperluan menjaga penjarakan fizikal ketika menaiki pengangkutan awam, manakala sektor perniagaan dibuka pada kapasiti penuh dan golongan berusia antara 61 hingga 65 tahun boleh bersiar di luar rumah.

Ketua pasukan petugas COVID-19 Filipina, Carlito Galvez, berkata republik itu mencatatkan penurunan kadar jangkitan, susulan perubahan tingkah laku rakyat yang kini menjadi pemakaian pelitup dan penghadang muka, selain pematuhan aspek penjarakan fizikal sebagai norma baharu kehidupan.

Bagaimanapun, pasukan penyelidik Octa-UP dari Universiti Filipina menyuarakan kebimbangan bahawa kawasan di ibu negara, Manila dan tujuh lagi wilayah sejak kebelakangan ini merekodkan peningkatan kes harian COVID-19.

“Seiring pengumuman kerajaan untuk memperluaskan pembukaan aktiviti ekonomi di seluruh negara, penularan jangkitan tidak dapat dielakkan, namun yang lebih penting sekarang ialah mengenai persoalan bila dan berapa banyak peningkatan akan berlaku,” katanya dalam laporan.

Di Indonesia, Menteri Luarnya, Retno Marsudi, berkata pihak berkuasa melipat gandakan usaha mendapatkan vaksin bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 menerusi syarikat farmaseutikal berpangkalan di United Kingdom, AstraZeneca yang menyatakan komitmen untuk memberikan 100 juta dos bekalan kepada republik itu.

Berdasarkan perancangan terbaharu, Indonesia menyasarkan untuk membekalkan vaksin kepada 160 juta daripada 270 juta rakyatnya, dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan menjelang tahun depan.

Penyelaras Menteri Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, dilaporkan berkata keutamaan vaksin itu akan diberikan kepada penduduk berusia antara 19 hingga 59 tahun dan petugas barisan hadapan seperti kakitangan perkhidmatan kesihatan, polis serta pegawai tentera. – AGENSI/Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat