KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali menegaskan, Bersatu sekali gus menangkis fitnah bahawa wujud pertemuan dan
perbincangan di antara pimpinan Bersatu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Dakwaan dan fitnah yang jahat dan tidak berasas ini dikutip dari kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan dan percubaan mereka untuk menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok.
“Wahai rakyat Malaysia! Berhati-hati dengan penyata dan berita daripada golongan fasik yang berkeliaran dan bergelandangan untuk memecahkanperpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan Bersatu.
“Berita golongan fasik mesti diselidik dan ditentusahkan terlebih dahulu. Tiupan fitnah semakin kencang kerana Bersatu semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat dan golongan profesional. Jenama Bersatu menjadi daya tarikan rakyat Malaysia selain pengalaman dan prestasi pemimpin-pemimpin Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yasin yang cemerlang, telah teruji dan terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik.
“Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat telah menjana sokongan yang meluas,” puji beliau.
Menurut Azmin lagi, pendirian Bersatu tuntas dan luhur.
Bahkan katanya, prinsip dan idealisma perjuangan Bersatu serta muafakat utuh dalam PN telah membawa perubahan yang besar dalam lanskap politik negara Malaysia.
“Jati diri dan citra Bersatu yang sederhana, inklusif dan prihatin sudah terpasak dalam sanubari rakyat.
“Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip untuk membina Malaysia yang gagah, bermaruah dan progresif untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.



