KUALA LUMPUR- Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bakal dijadikan ketua de facto Perikatan Nasional (PN), dakwa Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau menyifatkan ia sebagai langkah bijak oleh Dr Mahathir untuk beliau berada di barisan depan politik sekali lagi.
“Saya melihat langkah pelantikan Tun Mahathir baru-baru ini sebagai penasihat “Kerajaan Negeri 4” sebenarnya adalah satu langkah untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai ketua de facto Perikatan Nasional.
“Jelas sekali empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu semuanya adalah negeri yang dikuasai PAS.
“Ini menjelaskan mengapa Tan Sri Muhyiddin tidak dijemput ketika pemimpin PAS bertemu Tun Mahathir awal bulan ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut Salleh malah percaya Muhyiddin mempunyai pilihan yang terhad tetapi untuk bermain bersama beliau terpaksa menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh PAS yang mengetuai PN atas pelantikan Mahathir.
Terdahulu, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh PN dengan Dr Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’
Memetik portal Free Malaysia Today Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, empat negeri berkenaan akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan itu.
Katanya, empat menteri besar berkenaan secara prinsipnya bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan beliau sendiri sudah mengarahkan ahli Exco berkaitan untuk berbincang dengan rakan mereka di tiga negeri lain di bawah PN.
Menurut beliau, Dr Mahathir akan memainkan peranan secara tidak rasmi dalam menasihatkan kumpulan empat negeri berkenaan.
“Secara spesifiknya, beliau (Dr Mahathir) memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan untuk memastikan kumpulan itu diuruskan dengan efektif.
“Peranan Dr Mahathir juga untuk menghubungkan empat negeri berkenaan dengan pelabur seperti negara Jepun dan Korea Selatan yang beliau ada hubungan yang baik,” katanya.