Laporan hari ini teknikal, keluarga mangsa mahu dengar rakaman CVR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Keluarga mangsa nahas Elmina, Idris Abdol Talib @ Ramali, berharap kerajaan akan bertemu dengan waris bagi menjelaskan mengenai laporan awal nahas itu terutamanya membabitkan Perakam Suara Kokpit (CVR).

Adik lelaki Idris, Nurul Qomar, 38, berkata laporan awal yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini, kebanyakannya mengandungi maklumat teknikal berhubung siasatan.

Malah, katanya mereka akan menunggu lama sebelum rakaman CVR dikeluarkan dalam laporan akhir.

“Laporan awal dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan kami semua mengharapkan sedikit maklumat mengenai rakaman suara itu, namun tiada apa-apa walaupun transkripsi sudah disiapkan. Laporan hari ini memfokuskan kepada perkara teknikal mengenai nahas itu.

“Kami menghargai usaha kerajaan untuk berkongsi laporan itu kepada orang ramai dan tidak memberi tekanan kepada mereka (kerajaan) atau MOT, namun sebagai waris yang terjejas oleh insiden itu, kami sedang mencari jawapan mengenai apa yang berlaku sebelum nahas,” lapor BH pada Jumaat.

Nurul Qomar berkata, laporan akhir dengan butiran CVR akan dikeluarkan pada Ogos tahun depan.

“Ini adalah kes berprofil tinggi dan tempoh penantian yang agak lama untuk keluarga…kerajaan harus memberi penjelasan dan harapnya ia akan dapat dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu, berkata memandangkan audio CVR berjaya diekstrak, mungkin terdapat beberapa ahli keluarga terdekat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang berlaku ketika detik terakhir sebelum kemalangan itu.

“Kerajaan mungkin tidak mahu mendedahkan rakaman audio itu kepada umum kerana sensitiviti tertentu tetapi mengapa tidak menghubungi sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga (mangsa) dan membenarkan mereka mendengar….ini akan memastikan ketelusan.

“Kementerian boleh memanggil ahli keluarga yang terjejas untuk berkumpul dan menerangkan lebih lanjut mengenai penemuan itu secara terperinci, hal teknikal, memainkan audio CVR…jika tidak panjang, mungkin beberapa minit,” katanya sambil menambah beliau percaya bahawa semua keluarga mangsa masih mencari jawapan mengenai tragedi itu.

Idris, 41, kakitangan kerajaan negeri, adalah antara 10 orang yang maut dalam nahas itu.

Beliau adalah pegawai khas kepada anggota EXCO kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, yang turut terkorban.

Mangsa dalam perjalanan bersama tujuh yang lain termasuk Johari dan dua anak kapal menaiki pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dari Langkawi ke Lapangan Terbang Subang apabila nahas malang itu berlaku kira-kira jam 2.45 petang.

Nahas itu mengorbankan kesemua lapan orang di dalam kapal dan dua pengguna jalan raya.

Laporan awal oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara hari ini menyebut bahawa audio 30 minit terakhir tragedi itu akan diterbitkan dalam laporan akhir, dijangka dikeluarkan pada Ogos tahun hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat